Kabinet mahu PTPTN cari formula terbaik

Iklan

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri mahu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menangguhkan pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) dan mencari satu formula terbaik bagi setiap pihak berkepentingan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Menurutnya, Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini mengambil maklum keprihatinan, syor dan pandangan dikemukakan orang ramai, khususnya mereka yang memperoleh kemudahan pinjaman pengajian daripada PTPTN berhubung pelaksanaan PGB mulai Januari 2019.

Iklan
Iklan

"Jemaah Menteri berpandangan segala input dikemukakan orang ramai ada asasnya,” katanya, dan ekoran itu Jemaah Menteri memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PGB bagi membolehkan PTPTN mengadakan perbincangan dengan kesemua pemegang taruh berkaitan.

Beliau memaklumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan berhubung arahan penangguhan pelaksanaan PGB, susulan pengumuman terdahulunya melalui catatan di laman Facebooknya mengenai keputusan penangguhan pelaksanaan kaedah bayaran balik baharu pinjaman PTPTN itu.

Iklan

[ARTIKEL BERKAITAN: Mekanisme pembayaran baharu PTPTN ditangguhkan: Maszlee]

PTPTN pada Rabu, mengumumkan untuk melaksanakan PGB bagi peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan.

Iklan

Maszlee berkata, PTPTN perlu menghargai perjanjian ujrah ditandatangani dengan peminjam sebelum ini dan tidak harus mengenakan skim baharu ke atas semua peminjam sekali gus, terutamanya bagi peminjam yang sudah pun menyatakan komitmen untuk membuat bayaran setiap bulan tanpa melibatkan potongan gaji.

Berdasarkan PGB, peminjam berpendapatan RM2,000-RM2,499.99 perlu membayar dua peratus atau RM40 hingga RM49.99 dan bagi berpendapatan RM2,500-RM2,999.99 sebanyak tiga peratus (RM75-RM89.99).

Peminjam berpendapatan RM3,000-RM3,999.99 pula dikenakan lima peratus (RM150-RM199.99); RM4,000-RM5,999.99 (lapan peratus, RM320-RM479.99); RM6,000-RM7,999.99 (10 peratus, RM600-RM799.99) dan bagi berpendapatan RM8,000 ke atas perlu membayar 15 peratus atau RM1,200 dan ke atas.

Pengumuman PTPTN itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ahli politik yang mahu kaedah itu dipertimbangkan semula supaya tidak membebankan peminjam. - Bernama