'Saya jaga JDT selama-lamanya'

Iklan
Tunku Ismail ketika sidang media pada majlis bersama peminat Kelab JDT di Pusat Media Kelab Bolasepak JDT pada Isnin. - Foto Bernama

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan terus menerajui kelab bola sepak itu buat selama-lamanya.

Tunku Ismail berkata, tindakan itu dibuat sebagai menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahukannya meneruskan tanggungjawab menguruskan skuad Harimau Selatan.

Iklan
Iklan

Jelas Tunku Ismail, keputusan untuk meninggalkan tugas di JDT sebelum ini kerana sudah letih selepas 10 tahun bekerja keras membangunkan kelab tersebut.

"Dengan Covid-19 dan ekonomi sekarang, kadang-kadang penaja tarik balik tajaan, terpaksa saya yang tambah. Contoh duit bonus 100 peratus saya yang tanggung, duit penaja hanya gaji, penyelenggaraan stadium dan sebagainya.

Iklan

"Jadi saya letih juga sebab saya pun manusia, 10 tahun saya ingat OK, saya nak berehat sedikit. Tapi saya menjunjung titah Tuanku.

"Baginda bertitah kepada saya, JDT itu adalah awak, awak itu adalah JDT. Awak tak boleh tinggalkan JDT, awak yang melahirkan JDT. Macam mana atuk moyang kita melahirkan negeri Johor, macam itu juga awak dengan JDT," katanya pada majlis perjumpaan bersama penyokong JDT di bilik sidang media Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.

Iklan

Tunku Ismail berkata, akan menjaga negeri Johor dan JDT untuk selama-lamanya.

Pada 9 Jun lalu, Tunku Ismail mengejutkan arena bola sepak tempatan apabila mengumumkan mengundur diri daripada pengurusan kelab JDT.

Namun, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards ketika itu mengesahkan Tunku Ismail masih kekal selaku pemilik kelab gergasi dari selatan tanah air itu.