PADANG RENGAS - Luluh hati seorang ibu apabila anak, menantu dan tiga cucu kesayangannya meninggal dunia serentak dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan, Pahang pada Selasa.
Nahas kira-kira jam 3.40 petang itu mengorbankan Muhammad Rosli Ibrahim, 32, bersama isteri, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35, serta tiga anak, Nur Safwa Irdina,7; Nur Sofea Raida, 6, dan bayi lelaki dikenali sebagai Muhammad Rizqi berusia lingkungan 18 bulan.
Abang kepada Muhammad Rosli, Mohd Yusof, 35, berkata, ibu mereka, Rakiah Md Noh hanya terdiam selepas diberitahu mengenai nahas yang meragut nyawa lima beranak itu.
"Pada awalnya emak tidak percaya namun selepas dia bertanya keadaan cucu, barulah kami berterus terang. Dia terkejut dan cakap 'ALLAH anak aku'.
"Emak beritahu yang adik beria-ia mengajaknya ke Pahang. Dua kali dia ajak termasuk sebelum bertolak pada malamnya (Isnin), dia sempat telefon tetapi emak menolak kerana jarang ikut untuk perjalanan jauh," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah keluarga di Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini pada Rabu.
Menurutnya, orang pertama tahu mengenai kejadian itu adalah abangnya yang menerima khabar menerusi kumpulan WhatsApp.
"Ketika terima gambar kemalangan itu, saya terus cam kerana kereta Toyota Corolla itu baharu dibeli beberapa hari lalu daripada jiran.
"Untuk sedapkan hati saya hubungi adik tetapi talian terputus kemudian saya hubungi adik ipar pula tetapi tidak berjawab. Saya yakin yang Rosli memang terlibat," katanya.
Mohd Yusof berkata, keadaan ibu mereka kini agak stabil dan reda meskipun sekali sekala dilihat mengalirkan air mata akibat terlalu sedih.
"Arwah merupakan anak ke-10 daripada 13 beradik merupakan adik yang cukup ambil berat keadaan ibu dan ringan tulang. Ada waktu terluang, dia akan singgah bertanya khabar ibu dan bantu bersihkan rumah meskipun sibuk bekerja sebagai pemandu bas.
"Baru-baru ini kami ada berkumpul bersama di rumahnya di Bagan Serai mengadakan makan-makan. Arwah sangat gembira ketika itu hingga belikan anak-anak saudaranya pakaian. Itulah kenangan terakhir kami bersama," katanya.
Katanya, mereka mengetahui perjalanan arwah ke Pahang selepas memuat naik gambar kereta yang diambil di Hentian Rehat dan Rawat Bukit Gantang di status WhatsApp.
Tambahnya, pengecaman jenazah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan akan dilakukan oleh kakak mereka yang menetap di Johor.
"Urusan tuntutan jenazah akan dilakukan kakak kami dan kesemua akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Labu Kubong untuk dikebumikan dalam satu liang lahad," katanya.
BERITA SEMASA 29 JUN 2022
Lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan dan seorang bayi maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Gambang pada Selasa, lapor wartawan Sinar Harian, Nik Amirulmu'Min Nik Min.
Dalam kemalangan kira-kira jam 3.40 petang itu, pemandu kereta, Muhammad Rosli Ibrahim, 32 bersama isteri, Nor Afiqah Abdullah Sani, 35 dan tiga anak Nur Safwa Irdina, 7, Nur Sofea Raida, 6 serta bayi mereka (tiada maklumat) maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu treler, Mohamad Yunus Sudin, 26 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta dinaiki lima sekeluarga berasal dari Perak itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan.
Baca artikel penuh di sini : https://bit.ly/3bAPdLf
Muzik : www.bensound.com
#SinarHarian #BeritaSemasa" />