Bapa 'Baby Syifaa' diarah tidak buat kenyataan

Iklan
Yuseri (kanan) dilihat berbincang dengan Muhammad Amin dan Gaithri Thomas

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu memerintahkan bapa 'Baby Syifaa', Yuseri Yusoff, 39, supaya tidak membuat sebarang komen atau berkongsi maklumat dan dokumen berkaitan kes kematian anaknya di media sosial atau media sehingga prosiding inkues itu selesai.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed mengeluarkan arahan berkenaan selepas permohonan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly dan pegawai pengendali kes, Badius Zaman Ahmad.

Iklan
Iklan

Sebelum itu mahkamah memaklumkan koroner tidak dapat hadir pada sebutan inkues yang sepatutnya bermula pada Rabu kerana sedang berkursus.

Bapa kepada 'Baby Syifaa', Yuseri Yusoff, 39, turut hadir di mahkamah untuk mendengar proses inkues tersebut bersama barisan peguam pemerhatinya, Muhammad Amin Anuar dan Gaithri Thomas.

Iklan

Turut hadir peguam pemerhati yang mewakili pengasuh pusat jagaan yang terlibat iaitu, Noliana Ali Othman.

Pada prosiding kes, Husni membuat permohonan secara lisan bagi mendapatkan perintah halangan ke atas Yuseri yang mana ia akan difailkan pada Rabu sebelum diserahkan kepada Yuseri.

Iklan

Jelasnya, permohonan itu secara dasarnya bagi menghalang Yuseri untuk membuat apa-apa komen atau perkongsian di dalam Facebooknya yang menyentuh peranan dan tanggungjawab mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan polis.

"Ia juga bagi memastikan prosiding inkues ini berjalan lancar,"katanya.

Peguam pemerhati Yuseri, Gaithri Thomas pula mempersoalkan kenapa jurugambar polis tidak berada dalam senarai saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Yuseri (duduk kiri) turut ditemani isterinya ketika hadir ke mahkamah (duduk, dua dari kiri)

Ujarnya, jurugambar merupakan antara individu penting dalam prosiding inkues itu kerana dia yang mengambil gambar Baby Syifaa dan tempat kejadian.

"Pada tarikh lalu, kami ada menerima beberapa salinan senarai saksi yang mana senarai saksi pertama terdapat 28 orang dan kedua ada 10 orang.

"Bila kami teliti senarai saksi itu, kami dapati jurugambar tiada. Saya sudah keluarkan notis kepada pihak pendakwa raya untuk memanggil jurugambar pada tarikh perbicaraan," katanya.

Muhammad Amin memberitahu pihaknya juga akan mengemukakan senarai saksi kepada pendakwa raya bagi membantu prosiding inkues.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 September, 10 November dan 17 November sebagai tarikh bicara.

Sementara itu, Yuseri sejurus keluar dari kamar mahkamah dilihat berang manakala isterinya pula kelihatan menangis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri pada jam 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, berdasarkan siasatan awal, sebelum itu mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada pukul 12.30 tengah hari.

Pada 30 Mac lalu, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian seperti yang tular di media sosial Facebook dan memberi masa dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya