NEW YORK -"Kami amat berdukacita" apabila mengetahui berpuluh-puluh migran ditemui mati dalam sebuah treler yang terbiar di San Antonio, Texas, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres pada Selasa, lapor Xinhua.
"Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Mexico perlu menjalankan siasatan dan mengheret mereka yang mempunyai kaitan dengan tragedi ini ke muka pengadilan.
"Kejadian ngeri ini sekali lagi mengetengahkan keperluan untuk memantau penghijrahan yang selamat dan teratur di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan media.
Jurucakap setiausaha agung PBB, Stephane Dujarric, menekankan keperluan agar semua pihak bekerjasama mengambil langkah konkrit bagi membantu mencegah kematian yang tidak perlu dalam kalangan mereka yang berhijrah.
"Angka kematian akibat insiden itu kini mencecah 50 orang," kata pihak berkuasa tempatan pada Selasa.
Sementara itu, Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berkata, 50 pendatang yang ditemui mati kebanyakkan warganegara Mexico, sambil menyifatkan ia 'tragedi yang dahsyat'.
Mereka yang maut termasuk 22 warga Mexico, tujuh warga Guatemala, dua warga Honduras manakala asal-usul 19 yang lain yang masih belum dikenal pasti.
"Ini adalah bukti pahit bahawa kita perlu menggalakkan orang ramai untuk kekal berada di bandar mereka sehingga tidak perlu lagi mencari kehidupan di seberang sempadan," katanya kepada pemberita, sambil merujuk kepada program membasmi kemiskinan.
Lopez Obrador berkata, beliau akan membangkitkan hal ini sebagai 'isu utama' apabila bertemu dengan rakan sejawatannya dari AS, Joe Biden, sambil menambah pihak berkuasa Mexico akan menjalankan siasatan berhubung insiden itu.
Menurut pakar, peningkatan jumlah migran sejak beberapa tahun kebelakangan didorong oleh krisis ekonomi yang dicetuskan pandemik Covid-19. - Bernama