Import 4,538 tan metrik ayam dari Thailand

Iklan
Azulita (dua kanan) ditemui dalam sesi lawatan beliau ke kilang pemprosesan ayam PPN Selangor di Pandamaran di sini pada Selasa.

KLANG - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengimport sebanyak 4,538 metrik tan ayam secara berperingkat dari Thailand sehingga akhir bulan depan bagi mewujudkan simpanan stok atau 'stockpile' ayam.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim berkata, usaha ini dilaksanakan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan gabungan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai permulaan, Nafas dan PPN Selangor telah mengimport enam kontena dengan kapasiti 120 metrik tan ayam dari Thailand yang disahkan halal oleh Jabatan Veterinar Malaysia (DVS).

"Satu kontena telah sampai dan ditempatkan di bilik sejuk Nafas, sementara satu lagi kontena sampai hari ini (Selasa) dan telah ditempatkan di bilik sejuk PPN Selangor di Pandamaran, Klang.

Iklan

"Empat kontena lagi dijadualkan akan tiba pada minggu hadapan," katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan beliau ke kilang pemprosesan ayam PPN Selangor di Pandamaran di sini pada Selasa.

Beliau memaklumkan, selain dari PPN Selangor, PPN Johor juga akan mengimport ayam dari negara jiran berkenaan sebanyak tiga kontena manakala PPN Perak sebanyak lima kontena dalam masa terdekat ini.

Iklan

Menurutnya, LPP di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa peka dan prihatin akan segala permasalahan yang berlaku dalam industri makanan negara.

Malah beliau berkata, pihak terbabit juga akan terus komited dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin dalam apa jua keadaan.

"LPP akan terus membantu menangani isu kekurangan bekalan ayam di pasaran dan harga makanan melalui kaedah menggembleng pergerakan Nafas dan gabungan PPN dalam pelaksanaan stok pengimbal ayam.

"LPP juga akan terus memantau pelaksanaan penjadualan pengimportan dengan kerjasama dari pihak DVS, Maqis dan FAMA bagi menjayakan program ini dengan keutamaan diberikan kepada PPN yang mempunyai kemudahan bilik sejuk," tambahnya.

8 Jun lalu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan beberapa langkah jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan, termasuk mewujudkan simpanan stok atau 'stockpile' ayam.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan berkata, simpanan stok ayam untuk menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran dilaksanakan menerusi LPP akan melibatkan pertubuhan peladang secara gabungan dan dimulakan serta-merta.

Katanya, mesyuarat itu juga mengambil maklum status bekalan makanan negara bagi lapan komoditi makanan utama antaranya daging ayam, lembu/kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras.

"Secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan tempatan,” katanya menurut laporan media sebelum ini.