KEDAH Darul Aman (KDA) FC sekali lagi turun dengan mentaliti untuk memburu kemenangan pada aksi akhir Kumpulan G Piala AFC 2022 bertemu pasukan Kemboja, Visakha FC di Stadium Capt. I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada Khamis.
Menurut pengendalinya, Aidil Sharin Sahak, motivasi pemain-pemain Sang Kenari kini berada pada tahap tinggi selepas menang besar ke atas pasukan dari Filipina, Kaya FC 4-1 pada Isnin.
"Saya fikir pemain-pemain kami sudah bersedia, sangat bermotivasi selepas kemenangan besar 4-1 ke atas Kaya FC yang mana bukan mudah untuk dilakukan.
"Kami tahu Visakha adalah sebuah pasukan yang bagus, mereka telah menang dua aksi berturut-turut. Tetapi bolasepak kita perlu percaya bahawa sebelum perlawanan peluang kedua pasukan adalah sama dan kita perlu bekerja keras untuk meraih tiga mata, itu yang paling penting untuk kita esok," katanya pada sidang akhbar di Bali pada Rabu.
Mengulas lanjut, ketua jurulatih dari Singapura itu berkata, peluang untuk pasukan di dalam Kumpulan G untuk mara ke peringkat seterusnya masih terbuka dan perkara itu menjadi suntikan semangat untuk pemain KDA FC mencuri satu slot.
Jelasnya lagi, biarpun berdepan jadual yang padat, anak-anak buahnya masih mampu beraksi pada tahap yang tinggi dan memberikan aksi terbaik di atas padang.
"Mereka mesti beri terbaik untuk mendapatkan kemenangan, bukan memikirkan Visakha FC kuat ataupun tidak jadi penting untuk pasukan sendiri yang membuat sesuatu untuk mendapatkan kemenangan," ujarnya.
Sementara itu, pemain lincah Sang Kenari, Muhammad Fayadh Zulkifli berkata, semua pemain pasukan itu telah dipersiapkan dengan kekuatan fizikal dan mental sebelum menghadapi satu lagi misi untuk mengutip tiga mata ke atas Visakha FC.
"Persiapan mental dan fizikal pemain sudahpun bersedia untuk buat terbaik untuk perlawanan esok. Kita tahu kedua-dua pasukan mahukan kemenangan jadi di kem Kedah, apa-apapun perlu buat yang terbaik dulu untuk lawan mereka," katanya.
Visakha FC kini muncul pendahulu Kumpulan G selepas mencatatkan dua kemenangan dengan mengatasi Kaya FC 2-1 dan menewaskan Bali United FC 5-2 untuk mengutip enam mata.
KDA FC pula berada di tangga ketiga kumpulan G dengan tiga mata selepas tewas 2-0 kepada Bali United FC sebelum bangkit mengatasi Kaya FC 4-1.