IPOH - Enam individu termasuk seorang suri rumah mengalami kerugian lebih RM1.1 juta selepas diperdaya pasangan suami isteri dalam pelaburan sarung tangan di Selangor, tahun lalu.
Wakil, Shaharizad Shahrul Asmawi, 39, berkata, mereka mula melabur dalam sebuah syarikat diasaskan pasangan bergelar 'doktor' itu pada 26 Februari 2021 sebagai modal untuk pembekalan bahan tersebut.
"Mereka meminta bantuan dari segi modal dan atas dasar saling kenal dan percaya, kami berjaya mengumpul sehingga RM1.2 juta dengan menggunakan wang simpanan serta meminjam sanak saudara.
"Satu perjanjian telah ditandatangani antara kami dengan syarat wang berkenaan dibayar kembali dalam tempoh 40 hari," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Menurutnya, mereka menyedari ditipu apabila pelbagai alasan diberikan pada tempoh akhir perjanjian selain pasangan berusia 50-an itu gagal dihubungi.
"Kami berulang alik ke pejabat dan restorannya untuk dapatkan kembali duit kami dan dia berjanji untuk selesaikan hutang dengan beri cek bertarikh 12 Ogos tetapi malangnya cek itu ditendang.
"Kami hanya terima bayaran menerusi pindahan wang berjumlah RM120,000 pada 16 September tahun lalu dan sehingga kini, tiada bayaran lain yang dibuat," katanya.
Shaharizad berkata, mereka terkejut apabila pasangan itu masih menjalankan perniagaan selain berbelanja mewah dengan mengadakan parti dan membuat aktiviti amal.
"Baru-baru ini mereka membuka restoran mewah dan butik perancang perkahwinan di Shah Alam sedangkan kami teraniaya.
"Laporan polis telah dibuat di Perak dan Selangor tahun lalu dan sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap pasangan terbabit," katanya.
Katanya, mereka sangat memerlukan wang berkenaan bagi membayar semula pinjaman selain dia sendiri perlu menampung kos perubatan isterinya yang menghidap kanser.
"Kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan. Sekiranya dikenakan tindakan sivil, mereka tidak gentar malah boleh melarikan diri ke luar negara.
"Orang ramai perlu berhati-hati berurusan dengan syarikat milik keluarga ini supaya tidak menerima nasib sama seperti kami selain mendesak mereka untuk membayar semula baki wang pelaburan kami itu," katanya.