Sektor pendidikan penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Australia

Iklan
Penny Wong - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerjasama dalam bidang pendidikan kekal penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Australia, kata Menteri Luar Australia, Penny Wong.

Beliau berkata, Malaysia dan Australia mempunyai jalinan kerjasama yang lama dalam bidang pendidikan sejak kedua-dua negara mewarisi skim biasiswa bersejarah di bawah Rancangan Colombo asal bermula pada era 1950-an.

Iklan
Iklan

Malaysia kini menjadi tuan rumah bilangan terbesar universiti Australia di luar negara, menjadikannya hab pendidikan transnasional yang penting di Asia Tenggara.

Menurutnya, negara ini juga merupakan antara destinasi paling popular dalam kalangan mahasiswa Australia, turut disokong Rancangan Colombo Baharu (NCP).

Iklan

"Kehadiran Universiti Monash, Swinburne, Curtin dan Wollongong di Malaysia adalah signifikan

"Peluang pendidikan menyediakan potensi yang tidak berkesudahan untuk individu, komuniti dan negara mereka," kata beliau dalam ucapannya ketika majlis makan tengah hari dengan wakil kerajaan, ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, pada majlis itu ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, ahli politik tempatan dan anggota kor diplomatik.

Wong berkata, sejak 20 tahun lalu, lebih 125,000 rakyat Malaysia telah belajar di Australia, manakala ramai warga Australia turut mendapat manfaat daripada sektor pendidikan di Malaysia.

"Rancangan Colombo, membuka jalan bagi kedua-dua negara untuk menjalin hubungan dan persahabatan selain memanfaatkan peluang untuk dinikmati bersama.

"Namun sebahagian besarnya terbina menerusi sektor pendidikan di mana negara kita dan rakyat kita telah menjalin rasa hormat dan persefahaman bersama

"Pendidikan sangat penting dalam menentukan cara kita membina masa depan bersama,” tambahnya.

Di bawah Rancangan Colombo yang asal, lebih 20,000 pelajar berbakat dari seluruh rantau ini telah belajar di Australia sejak 1950-an hingga pertengahan 1980-an.

Ramai daripada pelajar ini akhirnya menjadi tokoh dalam bidang masing-masing, memberi faedah berpanjangan kepada negara masing-masing serta mengukuhkan hubungan Australia di rantau ini.

Sejak Malaysia menyertai NCP pada 2015, kira-kira 2,000 mahasiswa Australia mengikuti pengajian dan latihan amali di Malaysia.

NCP bermula pada 2014, merupakan inisiatif Kerajaan Australia meningkatkan pengetahuan tentang Indo-Pasifik dengan menyokong mahasiswa Australia untuk belajar dan menjalani latihan di rantau ini. - Bernama