PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersedia mengkaji bagi menambah baik had kifayah zakat yang diberikan susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup ketika ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, perkara terbabit bagaimanapun perlu dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Cadangan berhubung had kifayah zakat ditambah baik merupakan pandangan yang bagus dalam keadaan harga barang meningkat dan inflasi juga sedang berlaku.
"MAINJ memahami situasi ini, sudah pasti ia menjadi perkara yang amat dititikberatkan. Oleh itu, perkara berkaitan had kifayah zakat ini dalam pertimbangan untuk dikaji dan juga ditambah baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Cerapan Rasmi Hilal Zulhijjah 1443H/2022M di Pejabat Daerah Pontian di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menyarankan majlis agama Islam negeri-negeri menambah baik kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis panduan untuk menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.
Katanya, tindakan kerajaan menamatkan subsidi ke atas barang keperluan tertentu dan peningkatan kadar inflasi perlu diambil kira sebagai penambahbaikan garis panduan tersebut.
Menurut Mohd Fared, pelbagai bantuan tambahan disediakan MAINJ dan penerima zakat boleh membuat aduan dan permohonan tambahan dengan mengemukakan alasan paling wajar.
"Sebagai contoh, mereka (penerima) telah terima bantuan bulanan tetapi mereka pula ada masalah kesihatan. Di bawah zakat, ada bantuan perubatan, mereka boleh mohon sebab bukan setakat bantuan bulanan sahaja diberikan tetapi bantuan tambahan yang diperlukan juga diberikan.
"Saya sangat lebih ramai yang berkemampuan membayar zakat, hasrat kita untuk menaikkan had kifayah zakat dan untuk membantu asnaf-asnaf ini akan tercapai," katanya.