WASHINGTON - Budak lelaki berusia lapan tahun menembak mati seorang bayi dan mencederakan kakaknya yang masih kecil ketika bermain dengan pistol bapanya di sebuah motel di Florida, Amerika Syarikat pada Sabtu lalu, kata Syerif Daerah Escambia, Chip Simmons.
Bapanya, Roderick Randall, 45, mempunyai rekod jenayah telah ditangkap dan didakwa atas tuduhan cuai kerana memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang dan menyembunyikan bukti.
Ketika kejadian, dia membawa anaknya, manakala teman wanitanya membawa bersama anak kembarnya berusia dua tahun, dan seorang lagi anak perempuannya berusia setahun bertemu di motel.
"Pada satu ketika, Randall keluar dan meninggalkan senjatanya di dalam almari," kata syerif tersebut.
Mengetahui di mana pistol tersebut tersembunyi, anaknya mengeluarkannya dan mula bermain senjata api terbabit ketika ibu kanak-kanak perempuan itu sedang tidur.
"Dia menarik pistol dari sarung, mula bermain dengannya dan melepaskan satu pusingan (tembakan) ke arah kanak-kanak berusia satu tahun hingga menyebabkan maut.
"Peluru itu kemudiannya menembusi dan mengenai salah seorang kanak-kanak berusia dua tahun hingga cedera namun mangsa dijangka pulih," ujarnya seperti dilaporkan AFP.
Apabila Randall kembali, dia mengambil pistol dan sejenis bahan tidak dikenal pasti kemungkinan dadah dan keluar dari bilik itu sebelum polis tiba.
Kematian bayi perempuan itu mengejutkan dan terbaru dalam siri kemalangan tembakan. - Agensi