KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Taman Laut melakukan siasatan terperinci berkaitan video tular insiden memegang penyu di Pulau Redang baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, perbuatan memegang penyu adalah salah mengikut Seksyen 27 Akta Perikanan 1985.
"Tiada seorang pun boleh memancing, mengganggu, mengusik, menangkap atau mengambil penyu mengikut akta tersebut. Kerajaan negeri kesal dengan insiden ini dan berharap ia tidak akan berulang pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Selasa lepas, tular di media sosial satu video berdurasi 24 saat yang memaparkan seorang kru bot menyelam dan membawa naik seekor penyu hampir ke permukaan dipercayai di Teluk Dalam, Pulau Redang.
Video tersebut mendapat kecaman warganet kerana ia menyalahi undang-undang memandangkan penyu adalah haiwan terancam yang dilindungi kerajaan.
Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Pengusaha Bot Pulau Redang Azmi Awang ketika dihubungi berharap pihak terlibat dalam video tular itu akan dikenakan tindakan sewajarnya sebagai pengajaran agar ia tidak berulang lagi.
"Kami kesal dengan tindakan pengusaha bot yang masuk ke taman laut Pulau Redang membawa pelancong untuk melihat penyu secara tidak beretika.
"Setiap pengusaha bot perlu peka dengan peraturan yang dikuatkuasakan dan mengingatkan pelancong agar tidak menyentuh penyu ketika mengadakan aktiviti snorkeling," katanya. - Bernama