Seludup minyak masak dalam barangan elektrik ke Nigeria

Iklan
Vijaya (tiga dari kiri) menunjukkan minyak masak yang disembunyikan dalam cerek yang berjaya dikesan menerusi serbuan di sebuah premis di Bandar Baru Klang pada Isnin.

KLANG - Sebanyak 1,100 peket minyak masak bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke Nigeria dirampas dalam serbuan di sebuah premis menjual alat ganti kenderaan terpakai di kawasan Bandar Baru Klang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota polis daripada Bahagian D4 Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara bersama Balai Polis Bandar Baru Klang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, premis berkenaan dipercayai beroperasi dengan lesen menjual barangan lusuh atas nama pemilik warga tempatan sejak 2015.

"Operasi yang dijalankan kira-kira jam 2 pagi turut berjaya menahan tiga lelaki warga Nigeria berumur antara 30 hingga 40 tahun dipercayai terlibat dalam penyeludupan tersebut.

Iklan

"Siasatan dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek bertindak sebagai orang tengah yang akan membeli minyak peket daripada pasaran di sini sebelum menyeludup ke Nigeria," katanya dalam sidang media di IPD Klang Utara di sini pada Khamis.

Katanya, siasatan mendapati minyak masak yang diseludup itu disembunyikan dalam barang elektrik seperti cerek serta pelbagai barangan elektrik lain sebelum diseludup ke Nigeria.

Iklan

"Polis percaya sindiket mengambil kesempatan dengan membeli minyak masak bersubsidi ini dengan harga yang murah daripada warga tempatan di sini.

"Minyak masak ini kemudiannya akan dihantar dengan menggunakan kapal yang disewa, bagaimanapun menggunakan lesen menjual alat ganti kenderaan bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, selain minyak terdapat pelbagai barangan lain turut dirampas menerusi serbuan yang dijalankan.

Antara minyak masak yang disembunyikan dalam cerek yang berjaya dikesan menerusi serbuan di sebuah premis di Bandar Baru Klang pada Isnin.

"Antara dirampas melibatkan sejumlah 1,100 peket minyak masak satu kilogram pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2,750, 10 kampit beras 10 kilogram dianggarkan bernilai RM160.

"Selain itu, turut dirampas empat unit televisyen bernilai RM6,000, 225 unit cerek air bernilai RM7,000 dan 51 peralatan elektrik pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3,000 dengan keseluruhan rampasan berjumlah RM18,910," katanya.

Tambahnya, siasatan mendapati kegiatan itu bergiat aktif menggunakan lesen menjual barangan lusuh milik seorang individu tempatan.

"Siasatan mendapati lesen ini telah bermula sejak 2015 dan ia telah dipajak kepada tiga suspek warga Nigeria yang ditahan.

"Pemilik lesen ini yang merupakan seorang lelaki warga tempatan sedang dikesan bagi siasatan selanjutnya," katanya.

Ujar Vijaya, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 55 B Akta Imigresen dan Sek. 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen," katanya.