GEORGE TOWN - Jujur dan berintegriti adalah dua sifat utama yang dapat menjadikan seseorang itu pemimpin yang baik, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.
Rafidah yang popular dengan nama julukan ‘Wanita Besi Malaysia’ berikutan sikap tegasnya dalam isu-isu negara berkata, daripada dua sifat itu akan lahir sifat-sifat lain yang membantu daya kepimpinan seseorang.
"Seorang pemimpin tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana jawatan, untuk menjadi pemimpin anda mesti mempunyai kelayakan.
"Kelayakan ini bukan bermakna anda harus memiliki ijazah. Kelayakan ini bermakna kualiti yang anda miliki, nilai serta sifat seseorang.
"Apa juga yang anda putuskan untuk buat, mesti dibuat secara jujur dan berintegriti, menerusi dua sifat ini, jika anda dalam kerajaan misalnya, ia akan memberi kesan yang baik kepada masyarakat,” katanya semasa pembentangan bertajuk ‘What Leadership Means’ (Maksud Kepimpinan) pada persidangan menginspirasikan pemimpin masa depan anjuran Dewan Perniagaan Wanita Pulau Pinang (PWCC), di sini hari ini.
Persidangan sehari itu berperanan sebagai platform untuk membolehkan pihak berkepentingan yang mempunyai pengaruh dalam kerajaan, sektor swasta, bidang akademik, masyarakat sivil serta keusahawanan menyusun strategi dan bersatu ke arah satu matlamat iaitu kemampanan penyertaan wanita dalam ekonomi Pulau Pinang.
Rafidah berkata seorang pemimpin juga mestilah individu yang mampu 'take charge' (mengetuai) situasi, bukan sekadar 'in charge' (bertanggungjawab).
Sementara itu, beliau mengingatkan pemimpin agar mengambil peluang daripada teknologi dengan menggunakan kemudahan tersebut secara berhemah dan bijak.
"Seorang pemimpin mesti kalis masa depan, guna pakai teknologi dengan betul, berintegriti. Jangan guna teknologi untuk mengelak cukai pendapatan, misalnya,” kata beliau.
Rafidah yang memegang portfolio perdagangan antarabangsa dan industri selama 21 tahun sehingga 2008, juga berkata sebarang perniagaan yang dijalankan mesti mempunyai agenda lestari.
"Perniagaan tidak boleh mengancam alam sekitar. Sekarang orang ramai lebih bimbang tentang agenda lestari. Pulau Pinang adalah sebuah pulau dan dikelilingi laut yang merupakan aset anda.
"Jika aset anda rosak disebabkan alam sekitar kurang dijaga, ia akan menamatkan julukan Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara,” katanya. -Bernama