SHAH ALAM - Kebanyakan pasar raya di Seksyen 15 dan 16 di sini, terputus bekalan minyak masak berpeket satu kilogram dan hanya menjual minyak masak botol dua hingga lima kilogram.
Seorang jurujual pasar raya di Seksyen 15 dikenali sebagai Hidayah berkata, pihak pengurusan memaklumkan minyak masak berpeket satu kilogram terputus bekalan sejak dua minggu lalu.
"Setakat ini, semua pelanggan termasuk peniaga datang membeli minyak masak botol dan kami tidak mengehadkan kuantiti pembelian minyak masak botol kepada pelanggan setakat ini," katanya.
Perkara sama turut disuarakan seorang jurujual pasar raya di Seksyen 16, hanya mahu dikenali sebagai Muslim berkata, pelanggan tidak dihadkan pembelian bagi minyak masak botol.
"Namun ramai pelanggan mencari minyak masak peket kerana harganya lebih murah iaitu RM2.50, satu kilogram berbanding minyak botol berharga lebih RM12 untuk dua kilogram bergantung jenama.
"Sudah lebih dua minggu kami tidak menerima stok minyak masak peket satu kilogram dan kami terpaksa jual apa yang ada dalam simpanan kami sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Muslim bagaimanapun berkata, stok minyak masak botol setakat ini mencukupi dan pembelian tidak dihadkan kepada setiap pengguna walaupun ia mendapat permintaan tinggi.
Sementara itu, bagi seorang peniaga makanan, Rosilawati Dilah, 42, lebih gemar menggunakan minyak masak peket kerana harganya jauh lebih murah berbanding minyak masak botol.
"Saya tiada pilihan kerana minyak masak peket tiada di kawasan ini dan saya jangkakan selepas 1 Julai, untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket ini akan menjadi lebih susah.
"Saya rasa bermula esok, mungkin ada peniaga barang runcit akan hadkan kuantiti pembelian minyak masak botol pula," katanya yang terpaksa menaikkan harga makanan dijual sejak seminggu lalu.
Seorang lagi peniaga, Habsah Ahmad, 47, turut menaikkan harga nasi ayam penyet yang dijual dari RM7 kepada RM8 sebungkus berikutan kenaikan harga bahan mentah di pasaran ketika ini.
"Kami terpaksa menggunakan minyak masak botol yang lebih mahal malah harga ayam dan sayur-sayuran turut naik dan kami tiada pilihan terpaksa menaikkan sedikit harga makanan," ujarnya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram dimansuhkan bermula 1 Julai bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga.
Keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol itu dibuat kerana banyak berlaku penyelewengan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, penyelewengan subsidi minyak itu banyak dilakukan pihak industri, komersial dan ia juga lebih mudah untuk diseludup.