PORT DICKSON - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai kewujudan akuan bersumpah (SD) menyokongnya sebagai Perdana Menteri sesuatu yang 'menyenangkan'.
Menurut Anwar, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sekali gus menjawab segala tohmahan dan ejekan terhadap beliau ketika memberitahu mempunyai jumlah mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.
"Dulu apabila saya sebut mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi dan menyakinkan, ramai yang memperolok.
"Tapi saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan lebih dari itu kerana ia melibatkan istana dan sekarang saya tak pasti bagaimana SD ini boleh keluar.
"Sekarang ia terbongkar dengan sendirinya dan bukan dari saya. Bagi saya ia amat menyenangkan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2021 Port Dickson dan Penyerahan Komputer Riba serta Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Anak Negeri Sembilan B40 di sebuah hotel di sini.
Ditanya sama ada pemimpin UMNO ada menghubunginya selepas pendedahan dibuat Tajuddin, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ada yang memintanya untuk tidak memanjangkan perkara itu.
Bagaimanapun katanya, beliau perlu memberi penjelasan kerana namanya telah dikaitkan selain selama ini beliau dihina seolah-olah mereka cerita.
"Saya dihina sebegitu rupa, saya tidak jawab kerana bagi saya institusi istana dan raja bukan harus berlegar dalam ruang politik," katanya.
Selain itu, Anwar turut mendedahkan keengganannya membatalkan kes mahkamah membabitkan pemimpin UMNO termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebabkan beliau tidak menjawat jawatan Perdana Menteri.
Ujarnya, meskipun waktu itu telah mendapat sokongan 120 ahli Parlimen, namun Pakatan Harapan(PH) tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Mereka ada hak untuk menyokong sesiapa, namun kerana keputusan daripada PH, kita tidak terima walaupun diutus kepada Yang di-Pertuan Agong, jadi kita ada 118 (yang menyokong).
"Apa yang berlaku selepas itu adalah saya diminta beri kepastian bahawa urusan mahkamah melibatkan mereka terutamanya Najib tidak diteruskan dan saya harus guna kuasa selaku Perdana Menteri untuk pastikan ia tidak diteruskan
"Setelah semuanya ditandatangani, saya diminta beri kepastian bahawa urusan mahkamah terutamanya melibatkan Najib tidak akan diteruskan selepas saya dilantik jadi Perdana Menteri tapi saya tidak bersedia," katanya.
Jelasnya, disebabkan keputusan tegasnya itu, pada saat akhir Najib telah usulkan calon lain sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, mengulas dakwaan kesediaan mendapatkan sokongan kluster mahkamah bagi membolehkan dirinya menjadi Perdana Menteri, Anwar berkata, perkara itu hanya tohmahan pihak tertentu.
"Itu tohmahan mereka, ia tidak benar kerana mereka menghantar SD tidak melalui saya dan dihantar terus kepada Agong tetapi saya tegaskan bahawa pendirian PH tidak menerima (kluster mahkamah).
"Apakah kita harus korbankan prinsip kebebasan badan kehakiman dan sikap pendirian memerangi rasuah semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri, itu sudah jelas," katanya.