HOUSTON - Empat lelaki telah didakwa atas pelbagai kesalahan selepas 53 migran maut dalam treler di San Antonio, Texas, kata pihak berkuasa pada Rabu.
Pemandu treler itu, yang dikenali sebagai Homero Zamorano Jr, 45, didakwa atas tuduhan penyeludupan manusia sehingga mengakibatkan kematian, menurut Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.
Media tempatan melaporkan Zamonaro mempunyai senarai rekod jenayah sejak 1990-an, lapor Xinhua.
Sementara itu, Christian Martinez, 28, ditahan di Palestine, Texas, pada Selasa dan didakwa atas pertuduhan bersubahat membawa masuk pendatang asing tanpa izin sehingga menyebabkan kematian, menurut DOJ.
Siasatan mendedahkan bahawa komunikasi antara Zamorano dan Martinez berlaku membabitkan peristiwa penyeludupan itu.
Jika sabit kesalahan, Zamorano dan Martinez akan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau boleh dikenakan hukuman mati, lapor CNN.
Pada Selasa, Juan Claudio D'Luna-Mendez dan Juan Francisco D'Luna-Bilbao, kedua-duanya warga Mexico, didakwa memiliki senjata api dan menetap di Amerika Syarikat secara haram, menurut mahkamah dan pihak berkuasa AS.
Polis menahan kedua-dua suspek pada Isnin di sebuah lokasi di San Antonio seperti yang tertera dalam senarai pendaftaran treler itu.
Craig Larrabee, Pegawai Penyiasat Keselamatan Dalam Negeri San Antonio, selaku ejen khas yang bertanggungjawab menyiasat insiden itu, menyifatkan peristiwa penyeludupan manusia itu sebagai yang"terburuk" pernah terjadi di Amerika Syarikat.
Treler dengan nombor pendaftaran palsu itu membawa 67 migran sebelum dijumpai pada Isnin, Francisco Garduno Yanez, ketua Institut Imigresen Kebangsaan Mexico, berkata pada sidang media pada Rabu.
Tiada tanda-tanda kehadiran air di dalam treler dan tiada unit penyaman udara yang berfungsi, menurut Ketua Bomba San Antonio Charles Hood.
Mereka yang masih hidup mengalami strok haba dan keletihan.
Suhu di San Antonio mencecah 101 darjah Fahrenheit (38.3 darjah celcius) pada Isnin, manakala suhu dalam treler itu berkemungkinan jauh lebih tinggi berbanding cuaca pada hari itu, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS. - Bernama