KLANG - Air berwarna merah di Sungai Chandong di sini yang tular di media sosial pada Rabu telah kembali normal berikutan air pasang pada hari sama.
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, kejadian disyaki daripada aktiviti pembuangan efluen di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang.
Menurutnya, efluen berwarna merah itu dikesan terdapat di dalam longkang berhadapan sebuah premis di Jalan Sungai Pinang.
"Cecair berwarna tersebut dipercayai dilepaskan ke dalam longkang dan mengalir masuk ke kawasan kolam tadahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan seterusnya memasuki Sungai Chandong.
"Anggaran jarak longkang tersebut ke lokasi pencemaran adalah sekitar 1.32 kilometer," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, tular di media sosial keadaan Sungai Chandong Pulau Indah bewarna merah sekitar jam 12.45 tengah hari yang didakwa kesan pencemaran itu disebabkan sektor perkilangan.
Mengulas lanjut Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menjalankan pensampelan untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti kualiti dan kandungan pencemaran tersebut.
"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan diteruskan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air di Selangor terpelihara.
"LUAS juga akan bekerjasama dengan penduduk sekitar untuk mengenal pasti pelaku dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya," jelasnya.
Tambahnya, LUAS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin terhadap sumber air Selangor.
Jelasnya, kerajaan Selangor tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999.