PTPTN lancar pelan antirasuah

Iklan
Ahmad Dasuki (tiga dari kanan) dan Mohd Syahrul Ridzuan (empat dari kanan) dan Pengurusan PTPTN menunjukkan Buku Pelan Antirasuah Organisasi 2022-2024 semasa majlis pelancaran yang diadakan di Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi atau Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) PTPTN 2022-2024 pada Khamis.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, OACP PTPTN 2022-2024 merupakan dokumen dasar antirasuah utama di peringkat organisasi yang memaparkan kesungguhan dan bukti komitmen PTPTN dalam memberikan perkhidmatan yang telus dan berkualiti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, OACP PTPTN dilancarkan selaras dengan Inisiatif 2.1.5. Pelan Antirasuah Nasional 2019 - 2023 di bawah Strategi ke-2 iaitu Memperkukuh Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan dengan mewajibkan sektor awam untuk membangunkan Pelan Antirasuah di peringkat organisasi masing-masing.

"Dalam memastikan keberkesanan dan kejayaan OACP PTPTN, satu visi telah ditetapkan iaitu Menjadi Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara Yang Berintegriti Dan Bebas Rasuah.

Iklan

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa mendukung aspirasi kerajaan untuk mewujudkan persekitaran bersih dan bebas dari gejala rasuah serta salah guna kuasa yang boleh menjejaskan imej organisasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelancaran program itu telah diadakan di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Turut hadir adalah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM, Mohd Syahrul Ridzuan Yahaya.

Iklan

Ahmad Dasuki berkata, PTPTN sentiasa mengambil berat dalam menangani isu salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah serta menyemai amalan nilai-nilai murni dalam kalangan warganya.

"Alhamdulillah, pada hari ini (Khamis), PTPTN telah melakar sejarah dengan kejayaan membangunkan OACP bagi tahun 2022 hingga 2024. Pelan ini telah dirangka secara komprehensif dengan mengambil kira isu dan cabaran yang dihadapi oleh PTPTN.

"OACP PTPTN bakal menjadi panduan kepada seluruh warga PTPTN bagi mendukung aspirasi nasional dalam usaha pemantapan governans, integriti dan antirasuah,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran pelan itu juga merupakan kesinambungan daripada pelancaran OACP KPT yang telah disempurnakan oleh Datuk Seri Abdul Razak bin Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi pada 1 Jun lalu.

"OACP PTPTN ini telah menggariskan tiga bidang utama dengan lima objektif strategik dan 12 pelan tindakan secara keseluruhan. Setiap pelan tindakan yang ditetapkan telah mengambil kira keperluan kepada pemantapan integriti, pengukuhan governans dan pemerkasaan pencegahan rasuah.

"Bagi menjayakan pelaksanaan OACP PTPTN, aspek pemantauan dan penilaian akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan OACP PTPTN bagi mengawasi prestasi pelaksanaannya sehingga tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata, usaha penambahbaikan dalam pengurusan sumber manusia, pentadbiran, kewangan, penggunaan sistem teknologi secara menyeluruh, pemantauan dan pemantapan proses kerja akan terus diberi perhatian serius.

"PTPTN berharap agar OACP yang dibangunkan bagi jangka masa tiga tahun ini dapat dihayati dan dijadikan rujukan komprehensif dan inklusif kepada semua warga kerja PTPTN.

"Ia sekali gus dapat meningkatkan lagi integriti, kecekapan dan seterusnya menambah kepercayaan serta keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh PTPTN,” katanya.