56 ditahan SPRM Kedah libat rasuah, tuntutan palsu

Iklan
Shaharom Nizam (empat dari kanan) bersama tetamu kenamaan dan peserta konvoi pada majlis penutupan program ‘Kedah Free Corruption Ride 2022 SPRM Kedah’ di Majlis Perbandaran Sungai Petani pada Khamis.

SUNGAI PETANI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan seramai 56 individu atas kesalahan berkaitan rasuah dan tuntutan palsu bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, daripada jumlah itu, tujuh daripadanya merupakan penjawat awam manakala selebihnya adalah 43 pekerja swasta dan enam orang awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan terbabit adalah susulan daripada 142 maklumat yang diterima oleh SPRM Kedah membabitkan kesalahan-kesalahan berkaitan rasuah.

"Selepas siasatan dilakukan, kita membuka 38 kertas siasatan. Kes paling banyak melibatkan tuntutan palsu dengan 26 kertas siasatan, diikuti enam kes menerima rasuah serta empat kes memberi suapan, manakala dua lagi adalah menyalahgunakan kuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan program ‘Kedah Free Corruption Ride 2022 SPRM Kedah’ di Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) di sini pada Khamis.

Iklan

Shaharom Nizam berkata, sejak awal tahun, sebanyak 22 pertuduhan dilakukan melibatkan Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, Seksyen 165 kanun sama (pegawai awam terima barang berharga) dan Seksyen 17b Akta SPRM 2009 (memberi suapan kepada ejen).

"Kesalahan lain yang telah dituduh termasuk Seksyen 17a Akta SPRM 2009 kerana setuju terima suapan, selain Seksyen 470 kerana memalsukan dokumen dan Seksyen 214 iaitu menawar atau memulangkan harta untuk melepaskan pesalah,” katanya lagi.

Iklan

Menurutnya, daripada keseluruhan kes yang dituduh, dua daripadanya membabitkan pegawai awam yang terdiri daripada golongan profesional manakala tiga adalah kakitangan sokongan.

"Kita turut menyita dan membeku harta berjumlah RM700,000 membabitkan barangan berharga dan tanah serta melucut hak wang tunai berjumlah RM500,000,” katanya.

Shaharom Nizam berkata, walaupun jumlah tangkapan penjawat awam masih kecil di negeri ini, namun kegiatan tidak bermoral itu tidak boleh dibiarkan berlaku.

"Orang ramai harus tampil melaporkan sebarang kegiatan membabitkan rasuah untuk memastikan penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini sentiasa berintegriti tinggi,” katanya.

Menurutnya lagi, sikap tidak ambil peduli dan takut serta enggan menjadi saksi antara cabaran dihadapi SPRM dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

"Jangan risau atau gentar untuk menyalurkan maklumat kerana undang-undang akan melindungi pemberi maklumat dan saksi.

"Salurkan maklumat berunsurkan rasuah dan bersedia tampil sebagai saksi apabila diperlukan,” katanya.

Shaharom Nizam berkata, agensi itu tidak boleh bergerak sendirian dalam memerangi rasuah dan memerlukan kerjasama semua pihak.

"Masyarakat adalah antara mata dan telinga SPRM, jadi bersahabatlah dengan SPRM dan bantu kami membanteras rasuah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program ‘Kedah Free Corruption Ride 2022 SPRM Kedah’, antara objektif program yang diadakan adalah untuk memberi peringatan kepada penjawat awam agar menolak rasuah dan melaporkan perbuatan tersebut kepada SPRM selain mengekalkan kerjasama masyarakat untuk bersama membanteras rasuah.

Jelasnya, program kembara konvoi motosikal selama tiga hari dua malam itu menyelusuri lima daerah di negeri ini antaranya daerah Padang Terap, Sik, Kulim, Baling dan Kuala Muda dengan penyertaan hampir 100 peserta.

"Beberapa aktiviti komuniti bersama masyarakat setempat dilakukan sambil menyebarkan risalah dan mesej anti rasuah dan budaya integriti di setiap lokasi.

"Sesi dialog dan perkongsian info berkaitan Akta SPRM 2009 juga diadakan di beberapa lokasi terpilih,” ujarnya.