Pesakit mental ditemukan terapung di Sungai Kuantan

Iklan
Anggota bomba membantu membawa mayat mangsa yang ditemui terapung di Sungai Kuantan berhampiran sebuah kilang ais di sini sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut pada Khamis.

KUANTAN - Seorang wanita warga emas dipercayai pesakit mental yang dilaporkan hilang selepas datang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ditemui lemas di Sungai Kuantan berhampiran sebuah kilang ais di sini pada Khamis.

Mayat Tan Kah Choo, 67, ditemui jam 4.21 petang dalam keadaan terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis jam 10.30 pagi berkait kes lemas yang melibatkan seorang wanita di Sungai Kuantan.

Menurutnya, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan diarahkan ke lokasi kejadian untuk operasi SAR.

Iklan

"Operasi pencarian mangsa yang dijalankan turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan pihak polis," katanya.

Ismail berkata, mayat mangsa berjaya ditemui dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Iklan
Mayat mangsa yang ditemui terapung di Sungai Kuantan berhampiran sebuah kilang ais di sini, pada Khamis dibawa ke HTAA menggunakan kenderaan polis untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke sungai berdasarkan laporan yang dibuat seorang lelaki (pengadu) berhubung penemuan objek seakan mayat di bawah Jeti River Cruise berhampiran Taman Esplanade di sini.

Menurutnya, objek yang dilihat terapung itu disedari kira-kira jam 9 pagi sebelum hilang dihanyutkan arus memandangkan ketika kejadian air sedang pasang.

"Kejadian kemudiannya dimaklumkan kepada pihak polis kerana pengadu syak ada mangsa terjatuh ke dalam sungai berdasarkan penemuan beg galas,sepasang selipar dan juga buku rawatan pesakit psikiatri HTAA atas nama seorang wanita berhampiran lokasi itu.

"Kejadian dimaklumkan kepada keluarga mangsa dan satu laporan polis telah dibuat adiknya berhubung kehilangan kakaknya itu," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan melibatkan 20 anggota penyelamat terdiri daripada bomba, polis dan polis marin sebelum mayat mangsa berjaya ditemui.