KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Puteri Sarah, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen di sini terhadap seorang wanita.
Menerusi siaran langsung saluran televisyen Astro, hlive, pelakon itu berkata, tindakan saman dibuat kerana tindakan wanita tersebut menyebabkan maruahnya tercalar.
Menurut Puteri Sarah, isu itu tidak akan berlarutan jika beliau tidak diganggu pihak ketiga yang terus mencabar.
"Sebelum ini saya ada kongsi di Instagram (IG), pihak berkenaan mencabar dengan menyatakan 'bila nak saman, cepat sikit, suruh peguam kau buat kerja, kitorang dah meluat'.
"Jadi inilah harinya, saya failkan dua saman, saya buat untuk diri dan keluarga saya, sampai bila nak kena pijak, sampai bila?
"Insya-ALLAH, lepas ini sesiapa yang nak 'menyondol', mungkin boleh lebih berhati-hati," tegasnya.
Selama ini, beliau berkata, sudah ada niat untuk bertindak tetapi ketika itu dia masih memikirkan kesan yang akan dihadapinya termasuk natijah terhadap perkahwinan serta keluarganya.
Katanya, timbul perasaan was-was dan ragu-ragu dengan hala tuju yang akan diambil.
Bagaimanapun selepas pulang dari umrah dan menunaikan solat istikharah, Puteri Sarah yang pernah berlakon dalam filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie dan drama Sabarlah Duhai Hati itu mendapat suatu kekuatan selain dibantu oleh peguam.
"Saya buat semua ini bagi memperjuangkan perkahwinan dan hak saya. Sudah ambil orang punya, duduk diam-diam.
"Jangan ambil orang punya, kemudian nak canang sana-sini dan kacau keluarga serta orang sekeliling," katanya.
Dalam saman berkenaan, Puteri Sarah diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, Umi Kartini Abd Latiff dan Siti Natasha Basheer Hassan.
Sementara itu, Siti Natasha berkata, saman difailkan pada 16 Jun lalu dengan menamakan Faghira Fatini Kazaruddin selaku defendan tunggal.
Menurutnya, saman berkenaan telah diberi melalui serahan tangan dan penerimaan diakui sendiri oleh defendan.
Selain itu, katanya, defendan juga sudah menerima perintah injuksi interim, pada Selasa dan menfailkan satu tindakan berhubung gangguan di mahkamah sama.
"Perintah injunksi interim ini bagi menghalang defendan, ejen-ejen defendan atau wakil yang mempunyai kaitan, hubungan, proksi daripada mengganggu atau mengeluarkan sebarang kata-kata yang berunsur gangguan, ugutan, ancaman dan/atau hasutan suami Puteri Sarah (plaintif), iaitu Mohd Syamsul Mohd Yusof, ahli keluarga dan beberapa pihak lain.
"Ia sama ada secara lisan, tulisan, mesej elektronik, kenyataan di media sosial termasuklah Facebook, Instagram dan Twitter," katanya.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada Isnin depan.
Sebelum ini, rumah tangga Puteri Sarah bersama suaminya, Syamsul Yusof didakwa dilanda masalah disebabkan kehadiran orang ketiga.
Puteri Sarah mendedahkan seorang wanita mengganggunya sejak empat tahun lalu.
Dia mendakwa, individu itu melakukan gangguan dengan bersembunyi di sebalik puluhan akaun media sosial palsu.