SHAH ALAM - Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menubuhkan Pusat Tenaga Nasional (NEC) bertaraf antarabangsa bagi memperkasa peralihan tenaga yang merangkumi isu perubahan iklim, pembangunan lestari dan sumber tenaga boleh baharu (TBB).
Universiti milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menempatkan lima pusat kecemerlangan tenaganya di bawah NEC, antaranya Institut Tenaga Lestari (ISE), Institut Kejuruteraan Kuasa (IPE), Institut Infrastruktur Tenaga (IEI), Institut Dasar dan Penyelidikan Tenaga (IEPRe) serta Institut Informatik dan Pengkomputeran dalam Tenaga (IICE).
Pelaksanaan penyelidikan dan projek berkaitan tenaga itu juga akan melibatkan kerjasama pakar dari universiti tempatan dan luar negara serta para peneraju industri, dengan aspirasi menjadikan Malaysia Hab Tenaga Serantau.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan NEC di Uniten adalah usaha proaktif institusi pengajian tinggi untuk menyumbang kepakaran dalam agenda pembangunan negara termasuk dalam usaha peningkatan kapasiti TBB dan menangani pelepasan karbon.
Menurutnya, penubuhan NEC juga cukup signifikan kerana menggembleng usaha pelbagai pemegang taruh untuk sama-sama mendalami serta mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan tenaga yang sedang dihadapi seluruh dunia.
"Saya yakin sekiranya NEC ini ditadbir urus dengan baik, maka berupaya menghasilkan penyelesaian terhadap isu nasional dan sejagat,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju pada Majlis Pelancaran awal NEC di Uniten, Putrajaya pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim; Pengerusi TNB, Datuk Sri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din dan Naib Canselor Uniten, Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.
Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, NEC juga bakal memainkan peranan strategik dalam mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadikan negara neutral karbon seawal 2050 dan memenuhi aspirasi pelepasan karbon sifar bersih dalam Hala Tuju Kelestarian 2050 (TNB Sustainability Pathway – SP2050).
Tambahnya, NEC akan membentuk kerangka strategik nasional dengan sasaran Malaysia sebagai hab tenaga, di samping pemain industri berpeluang menjadi rakan strategik dengan membuka cawangan atau makmal inkubator satelit di pusat tenaga itu.
"Kajian-kajian ini dijangka memberi manfaat masa depan lebih selamat, lebih mesra alam dan sederap dengan perkembangan ekonomi digital rendah karbon.
"Antara yang bakal diterokai secara mendalam ialah penggunaan hidrogen, kuasa suria berasaskan angkasa, kuasa magma, kuasa tenaga alga, kuasa solar terbenam, kuasa angin dan kuasa lakuran bagi tenaga boleh baharu serta pembangunan ekosistem teknologi Kenderaan Elektrik (EV),” katanya.
Sambil menyifatkan penubuhan NEC tepat pada masanya, Takiyuddin turut melontarkan cabaran kepada penyelidik agar mengkaji opsyen dan langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan elektrik kekal berdaya harap dan mampu bayar.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya, Ahmad Amzad turut mencadangkan supaya NEC bekerjasama dalam penyelidikan di peringkat peralihan tenaga serantau, khususnya ASEAN, China dan negara-negara Eropah serta organisasi antarabangsa.
"NEC juga boleh mewujudkan forum peringkat tinggi di antara para akademia tersohor, pakar industri dan pegawai tinggi kerajaan dengan ahli-ahli negara ASEAN serta Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bagi membincangkan secara mendalam isu-isu kritikal dalam bidang tenaga,” katanya.