KUALA LUMPUR - Penetapan harga siling ayam dan telur oleh kerajaan dibuat bagi memberikan situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak khususnya penternak dan pengguna, mengambil kira keadaan ekonomi yang masih belum stabil.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ini kerana peningkatan harga siling ayam dan telur dapat membantu penternak menampung kos penternakan dan menjamin hak pembeli agar tidak terbeban dengan harga yang tinggi.
Katanya, sekalipun terdapat kenaikan harga siling pada kedua-dua bahan mentah berkenaan, ia masih lagi dalam kadar yang tidak memberikan kesan besar kepada pengguna berbanding jika harga barangan itu diapungkan.
"Ada yang kata kalau harga diapungkan, harga bagi ayam contohnya mungkin boleh cecah RM15 sekilogram (kg) tetapi ini (harga siling) tidaklah terlalu tinggi hingga menyebabkan pengguna membayar harga yang lebih mahal.
"Bagi pembekal (penternak) dan peniaga pula, harga siling itu mungkin dapat diterima kerana boleh menampung kos pengeluaran penternakan dan lain-lain, jadi kita (FOMCA) harap dengan cara (penetapan harga siling) ini, tidak timbul isu tentang pengeluaran ayam yang berkurangan sebaliknya pulih seperti sedia kala,” katanya kepada Bernama.
Pada Rabu, kerajaan memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam tetapi meneruskan subsidi dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai esok, sementara harga siling runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji).
Sebelum ini, harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90kg dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram. Harga maksimum telur ayam gred A pula ditetapkan pada 43 sen sebiji, telur ayam gred B (41 sen sebiji) dan telur ayam gred C (39 sen sebiji).
Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kenaikan harga siling itu hanya bersifat sementara sehingga bekalan dan ekonomi masyarakat kembali stabil.
"Bagi pihak penternak, mungkin ada antara mereka berasa sedikit kecewa kerana keuntungan yang diperoleh tidak terlalu tinggi tetapi ia (harga siling) tidak akan kekal selama-lamanya.
"Saya pasti kerajaan akan mengkaji semula harga siling kerana penternak juga adalah penyumbang kepada ekonomi negara tetapi dalam keadaan sekarang, kerajaan perlu memikirkan situasi menang-menang kerana perkara ini melibatkan kehidupan rakyat,” katanya.
Mohammad Tawfik berkata, dengan anggaran rakyat Malaysia menggunakan dua juta ekor ayam sehari atau 60 juta ekor sebulan, bekalan ayam dan telur harus distabilkan di pasaran dengan kerajaan perlu meneliti pelbagai alternatif lain termasuk menggunakan sumber tenaga kerja sedia ada untuk membantu penternak menghasilkan kapasiti pengeluaran yang lebih banyak.
Dalam masa sama, beliau berharap nilai kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang dikenakan kepada peniaga ingkar terhadap penetapan harga siling, dapat ditingkatkan demi memberi pengajaran kepada peniaga lain.
"Selain daripada kompaun, kena ada juga satu pindaan pada peraturan itu (akta) supaya bentuk hukuman lebih keras dapat dilaksanakan. Kalau tindakan penguatkuasaan pun tidak ketat, peraturan tidak memadai dan nilai kompaun pun rendah serta boleh dibayar oleh peniaga, maka kita tidak akan pergi ke mana- mana,” katanya.
Bagi pakar ekonomi, Dr Barjoyai Bardai pula, kerajaan perlu ada mekanisme audit forensik ke atas urus niaga jual beli ayam sebagai sebahagian tindakan penguatkuasaan agar siasatan menyeluruh dapat dilakukan ke atas rantaian bekalan, sekiranya terdapat gangguan bekalan atau kenaikan harga melebihi harga siling.
Katanya, ini penting kerana peruncit merupakan kumpulan yang sering terhimpit dengan tindakan penguatkuasaan akibat kegagalan mematuhi penetapan harga siling sedangkan margin keuntungan yang diperoleh tidaklah besar seperti diterima golongan penternak.
"Kadang-kadang peruncit membeli ayam daripada pembekal dengan harga RM8.80, kemudian kalau dia nak jual RM8.90 memang tidak boleh sebab tidak lepas kos-kos tertentu. Jadi peruncit terpaksa jual lebih tinggi dan sesetengahnya juga akan mengenakan kos upah memotong ayam yang akhirnya menyebabkan harga ayam RM9.40 atau lebih.
"Ini sudah tentu menyalahi undang-undang dan kalau ditangkap, yang kena adalah peruncit kerana berurusan dengan penggguna manakala pembekal yang sudah mengaut keuntungan tidak dikenakan (terlepas) denda. Sebab itu, perlu ada siasatan menyeluruh untuk tahu siapa yang mengambil margin keuntungan lebih tinggi,” katanya. - Bernama