Rakyat Thailand berdebar menanti 9 Mei

Iklan
Orang ramai melihat proses kiraan undi di Bangkok pada Ahad lalu.

BANGKOK - THAILAND. Selepas seminggu Pilihan Raya Thailand berlangsung yang merupakan pemilihan pertama sejak rampasan kuasa pada 2014, masih tidak jelas parti mana yang boleh membentuk kerajaan.

Keputusan undian akhir dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) pada Khamis lalu bagaimanapun menunjukkan parti projunta telah memenangi undi popular.

Iklan
Iklan

Proses kiraan undi turut mencetuskan kebimbangan banyak pihak kerana ramai yang khuatir ia dicemari penipuan berikutan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 9 Mei depan.

Pilihan raya tersebut dilihat rakyat Thailand sebagai usaha untuk mengembalikan demokrasi ke negara itu.

Iklan

Tetapi, tentera dikritik kerana cuba untuk memastikan ia terus kekal berpengaruh dalam politik termasuk mengambil langkah memperkenalkan sistem memperuntukkan 250 kerusi Senat untuk wakil mereka dan masih tidak jelas berapa jumlah kerusi yang bakal diisi parti lain.

Kenapa ambil masa lama untuk umum keputusan?

Dalam pilihan raya sebelum ini, keputusan dikeluarkan cepat dan jelas.

Iklan

Tetapi, kali ini EC dilaporkan mempunyai masalah dengan keputusan statistik tidak konsisten dari 350 kawasan pilihan raya hingga memaksa ia berhenti mengeluarkan jumlah kiraan undi dan bertindak menyalahkan pihak lain atas isu yang berpunca daripada mereka sendiri.

Ia mengumumkan hasil kiraan 100 peratus undi menunjukkan parti protentera, Palang Pracharath memperoleh 8.4 juta undi disusuli Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra meraih 7.9 juta undi manakala Parti baharu, Future Forward mendapat 6 juta undi.

Banyak pihak termasuk beberapa parti mula memfailkan aduan kerana bimbang kiraan undi itu telah dimanipulasi.

Sehingga kini, masih tidak jelas kenapa EC yang mempunyai bajet sangat besar mempunyai masalah seperti itu yang didakwa kononnya berpunca daripada serangan penggodam ke atas pelayannya.

Siapa yang akan bentuk kerajaan?

Kerajaan baharu tidak akan dibentuk sehingga keputusan disahkan pada 9 Mei depan, sekali gus ia memberi masa kepada EC untuk menyiasat dakwaan wujud pelanggaran undang-undang pilihan raya atau ia mungkin terpaksa mengadakan pemilihan semula di beberapa kawasan.

Undian di kedua-dua dewan Parlimen untuk melantik perdana menteri dijangka diadakan beberapa minggu selepas tarikh itu.

Ramai yang bertaruh Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha bakal mengekalkan jawatannya, namun keputusan tidak rasmi menunjukkan majoriti kerusi di Dewan Rakyat dikuasai gabungan tujuh parti pembangkang dipimpin Parti Pheu Thai.

Ini bermakna, walaupun Prayuth memenangi undi untuk dilantik sebagai perdana menteri, kerajaan pimpinannya masih 'lumpuh' di Parlimen.

Adakah pilihan raya itu adil?

Kumpulan pemerhati antarabangsa, ANFREL tidak lagi melabel pilihan raya itu sebagai tidak bebas dan tidak adil.

Tetapi, ia mengkritik kelebihan diberikan kerajaan junta tentera, maklumat pengundi yang lemah dan sekatan terhadap kebebasan bersuara.

Muka depan beberapa akhbar tempatan memaparkan tajuk tentera mungkin kekal memegang kuasa di negara itu.

Ramai rakyat negara itu mengesyaki berlaku banyak penyelewengan dalam pemilihan tersebut, namun tidak ada bukti tentang dakwaan tersebut.

Kali ini, EC telah kehilangan kredibiliti dan mereka akan terus diperhatikan untuk melihat ia menangani aduan dengan adil dan bagaimana ia memperuntukkan 150 kerusi untuk senarai sistem perwakilan berkadar.

Adakah rakyat Thailand akan menerima keputusan itu?

Ramai golongan muda telah menyuarakan kekecewaan terhadap prestasi Parti Palang Pracharath dan Pheu Thai.

Kini, seluruh rakyat negara itu berdebar menanti tarikh 9 Mei dan penyokong parti antijunta percaya pilihan raya itu telah memberi mandat kepada mereka untuk menghentikan pemerintahan junta di negara tersebut yang telah menggulingkan legasi keluarga Shinawatra sebelum ini.

Bantahan awam dijangka tercetus jika EC membuat perubahan dalam anggaran kerusi sama ada melalui kiraan senarai kerusi parti atau kehilangan kelayakan atas alasan pelanggaran peraturan pilihan raya.

Protes sama boleh berlaku jika terdapat usaha untuk menyekat majoriti pembangkang di Parlimen.

Apa yang dibimbangi adalah demonstrasi jalanan dan keganasan akan berulang atau kemungkinan satu lagi rampasan kuasa akan berlaku jika terdapat kebuntuan di Parlimen.

Ini kerana, ketua tentera telah memberi amaran jelas mereka tidak sesekali akan menyokong kerajaan yang ada kaitan dengan Thaksin. - BBC