Kasih ibu dan anak tiada galang ganti

Iklan
Tautan kasih ibu dan anak memang tiada galang ganti. - Gambar hiasan

KERIBUTAN rumah tangga membabitkan seorang ahli perniagaan terkenal yang kecoh baru-baru ini memang mengganggu minda Merak Jalanan.

Masakan tidak, kita pasti dapat menelah, kemelut berkenaan pasti memberi impak kepada emosi anak-anak.

Iklan
Iklan

Dalam bab anak, Merak Jalanan memang sensitif. Apa yang hendak dikongsikan Merak Jalanan adalah satu kisah yang cukup berbeza. Namun 'subjek' utamanya masih tentang anak.

Sahabat Merak Jalanan ini sudah lapan tahun berkahwin, tetapi masih belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata.

Iklan

Dipendekkan cerita, satu pasangan (diperkenalkan oleh rakannya) bersetuju menyerahkan anak kelima mereka kepada sahabat Merak Jalanan. Alasannya mereka berdepan masalah kewangan untuk menjaga bayi yang baru lahir itu.

Rezeki yang datang bertandang disambut dengan kesyukuran. Pun demikian, selang tujuh tahun kemudian iaitu ketika si anak sudah besar panjang, berlakulah 'perang air mata' sehingga membawa kepada kemudaratan.

Iklan

Ibu kandung budak itu yang sudah berkahwin lain dengan lelaki warga asing menyuarakan hasrat untuk mengambil anaknya semula. Kata-kata 'aku sudah berwang dan mahu bawa budak ini berhijrah' bikin sahabat Merak Jalanan 'naik gila'.

Kalau bercakap dari segi peraturan dan undang-undang, nampaknya beliau kena angkat bendera putih. Ini kerana tiada 'surat hitam putih' mengenai pemindahan hak jagaan.

Kiranya, sahabat Merak Jalanan cuma bantu menjaga budak itu sahaja. Situasi yang dialaminya memang perit dan menyeksakan. Bayangkan hubungan yang terjalin hampir sedekad lama bernoktah begitu sahaja.

Ketika menziarahinya baru-baru ini, beliau menunjukkan bilik si kecil itu yang kosong, tetapi semua pakaian dan peralatan mainan masih tersusun rapi.

Hati ibu mana tidak hancur? Terlalu subjektif untuk menghakimi kisah sahabat Merak Jalanan ini. Tautan kasih ibu dan anak memang tiada galang ganti.