Ternak kambing tampung kos tahfiz

Iklan
Zamri menunjukkan produk kambing yang dijual.

BUKIT BERUNTUNG - Pengurusan Maahad Tahfiz Integrasi Al Hira mengusahakan penternakan kambing sejak Januari lalu bagi menambah pendapatan menampung perbelanjaan tahfiz tersebut.

Seorang sukarelawan tahfiz, Zamri Abbas, 46, berkata, pengurusan mengeluarkan modal sebanyak RM2,500 bagi membeli pasangan induk sebelum menambah ternakan sebanyak dua ekor sebulan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kini 22 kambing itu diuruskan beberapa sukarelawan pelbagai latar belakang dengan reban utama terletak di Felda Sungai Tengi.

"Kita beli anak kambing berusia dua bulan dan dijual semula selepas berusia lebih setahun pada harga RM700-RM900 mengikut saiz bagi memastikan pulangan berbaloi untuk tabung tahfiz.

Iklan

"Tahfiz yang menempatkan 20 pelajar ini ditubuhkan sejak empat tahun lalu maka kumpulan sukarelawan mengemukakan cadangan agar projek ternakan dilaksanakan sebagai satu sumber pendapatan.

"Ada ternakan yang sudah dijual sama ada untuk dibela atau dibuat akikah yang turut menjemput pelajar tahfiz ini memeriahkan majlis termasuk doa selamat,"katanya.

Iklan

Zamri yang menjaga hal kewangan tahfiz berkata, pihaknya turut menawarkan penternakan mengikut sistem pawah kepada individu yang berminat menternak kambing tanpa reban sendiri atau kekangan masa.

Menurutnya, penjualan daging kambing perap turut dijalankan melalui tempahan atas talian dengan harga berpatutan mengikut berat daging.

"Pelaksanaan projek ternakan ini berkonsepkan membeli sambil beramal," katanya.

Mudir tahfiz, Mohammad Izan Abdullah Halim berkata, pengambilan pelajar baharu masih dibuka dengan tawaran pengajian dan penginapan secara percuma untuk anak asnaf serta kurang kemampuan.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB 8600640642 atau menghubungi Mohamad Izan di talian 010-8473123.