KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak memuji persembahan anak buahnya ketika menewaskan Tampines Rovers FC, 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan H, Piala AFC 2022 di Stadium Bola Sepak KL malam tadi.
Menurut Bojan, meskipun skuad kendaliannya itu tidak banyak dibarisi dengan pemain bintang, namun semangat kerjasama dan kesungguhan ditunjukkan anak buahnya itu menjadi penyebab mereka berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya sebagai naib juara terbaik zon Asia Tenggara.
"Pasukan bermain dengan sangat baik dan mengikut arahan seperti apa yang dirancangkan serta berjaya mengawal permainan dengan baik.
"Kami bukanlah pasukan yang banyak pemain bintang tetapi kami ada sekumpulan pemain yang rajin dan mereka bertahan, menyerang serta mencipta peluang sebagai satu pasukan. Bagi saya itu perkara paling penting.
"Walaupun skuad ini tidak pernah menang besar dengan pasukan lain, namun kami juga tidak kalah dengan jumlah jaringan yang besar,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Tampines.
Pada aksi tersebut, The Hawks bermula garang apabila berjaya merobek gawang lawan pada minit ke-16 menerusi kaptennya, Paulo Josue yang bijak menyempurnakan hantaran pemain tengah, Akram Mahinan.
Gol itu nyata menyuntik semangat pemain KL apabila Josue sekali lagi menjadi watak penting dengan menjaringkan gol kedua The Hawks, sekali gus jaringan peribadi kedua pada minit ke-22.
Bagaimanapun, The Stags kendalian Gavin Lee yang menduduki tangga keempat Liga Perdana Singapura tidak mengalah dan bangkit merapatkan kedudukan hasil jaringan minit ke-37, pemain import dari Montenegro, Boris Kopitović.
Dalam pada itu, Bojan ketika ditanya berkenaan tindakannya memperlahankan tempo permainan pada separuh masa kedua, beliau memberitahu tindakan itu dibuat bagi mengelakkan pasukannya sekali dibolosi oleh lawan.
"Tempo permainan kami laju pada separuh masa pertama dan ia nyata membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan dua gol.
"Mungkin ada pemain lupa dengan kewujudan pemain nombor 9 yang berjaya menyumbangkan satu gol buat lawan.
"Jadi pada separuh masa kedua, kami mengambil pendekatan berhati-hati bagi dan melancarkan serangan balas mengelak daripada dibolosi sekali lagi. Ini kerana kami sudah layak ke peringkat seterusnya menerusi dua jaringan itu,”katanya.