Lari tinggalkan anak sedang tidur elak ditahan

Iklan
Antara warga asing yang diperiksa dalam Ops Sapu di kawasan setinggan di Segambut Dalam, Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Sanggup meninggalkan dua anak perempuan berusia satu dan lima tahun hanya kerana mahu menyelamatkan diri daripada dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Itu antara situasi yang berlaku semasa serbuan Ops Sapu, pada Jumaat di kawasan setinggan di Segambut Dalam, di sini yang didiami lambakan warga asing.

Iklan
Iklan

Operasi bermula jam 12.30 tengah malam yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Imigresen Kuala Lumpur berdepan dengan tindakan sepasang suami isteri warga Indonesia yang nekad melarikan diri daripada anggota penguat kuasa.

Lebih memilukan, dua anak itu ditinggalkan ketika mereka sedang tidur.

Iklan

Dalam pada itu, terdapat segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersembunyi di sebalik pintu dan melarikan diri melalui bumbung rumah bagi meloloskan diri daripada ditahan anggota imigresen.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, seramai 107 individu telah diperiksa dalam operasi yang tamat pada jam 3 pagi.

Iklan

"Hasil pemeriksaan, pihak imigresen telah menahan 40 PATI terdiri daripada 18 lelaki, 17 wanita dan lima kanak-kanak.

"Kesemua PATI yang ditahan membabitkan 36 warga Indonesia dan selebihnya warga Bangladesh," katanya pada Jumaat.

Antara warga asing yang diperiksa dalam Ops Sapu di kawasan setinggan di Segambut Dalam, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Syamsul Badrin berkata, siasatan awal mendapati kawasan penempatan itu dipercayai telah wujud sejak lebih 10 tahun.

Berdasarkan maklumat, rumah di kawasan ini disewa pada harga antara RM600 hingga RM800 sebulan manakala bagi bilik pula disewa pada harga RM300 sebulan.

Tambahnya, kebanyakan warga asing yang menetap di kawasan ini bekerja sebagai buruh binaan dan tukang cuci.

Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan operasi besar-besaran bagi membanteras masalah PATI dan memberi amaran keras kepada majikan yang mengambil golongan itu bekerja.