SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar satu perubahan dapat dilakukan agar gejala rasuah di negara ini dapat dibanteras.
Menurut hantaran video di Facebooknya, orang ramai turut dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari menjadi pengampu dan penjilat kepada pelaku rasuah yang telah merompak kekayaan negara.
"Kita mesti manfaatkan waktu yang ada. Menanam semangat pada waktu yang ada. Ini adalah tuntutan al-Quran untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan.
"Bukan menjadi pengampu dan penjilat. Ada yang nyata salah guna berbillion ringgit. Masih disanjung oleh sebahagian kita.
"Apa maruah kita? apa jenis akhlak kita bicarakan. Apa agama kita? apa nilai hidup kita? Orang Islam, Hindu, Buddha mahupun Kristian, di mana ajaran yang nak mendewakan orang yang telah merompak kekayaan berbillion ringgit,” katanya pada Jumaat.
Beliau menegaskan agar rakyat Malaysia dapat bangkit dengan menolak pemerintah yang secara jelas telah mengakibatkan kerugian terhadap negara.
"Ada isteri, siapa tidak sayang isteri, tetapi bukan dengan mengambil wang negara beli berlian ratusan juta ringgit. Bukan mengumpul kekayaan untuk diri sendiri.
"Guna wang itu belanja rakyat sedikit sebanyak supaya terus sokong dia.Hilang bukan ratus juta, billion ringgit. Masih orang kita belum bangkit untuk membantah,” ujarnya.