SEREMBAN - Meskipun banyak pilihan nasi bajet yang kini terdapat di Seremban, Negeri Sembilan, namun gerai nasi bajet milik pasangan Rubiah Ab Samad, 48, dan suami, Ali Jantan, 63, antara yang menjadi tumpuan.
Terletak di Jalan Seremban-Jelebu bersebelahan stesen minyak Petronas dan dibuka Isnin sehingga Jumaat, pemiliknya tidak menang tangan melayan pelanggan.
Selain faktornya yang murah, keenakan air tangan Rubiah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Rubi menyediakan empat jenis menu utama iaitu ayam masak lemak, ayam kari, ayam masak kurma, asam pedas dan sup tulang sangat membuka selera.
Paling disebut-sebut pelanggan adalah kerangupan ayam gorengnya yang besar dan berbaloi untuk dijadikan santapan makan tengah hari yang sudah pasti mengenyangkan.
Bercerita mengenai perniagaannya, ibu kepada empat anak itu tidak menyangka percubaannya berniaga nasi bajet tiga tahun lalu begitu menjadi.
"Waktu itu bermula trend makan tengah hari nasi bajet. Lagipun harganya murah dan paling penting mengenyangkan.
"Di gerai saya, dengan harga RM4.50, pelanggan boleh pilih menu berkuah, ayam goreng, hirisan timun dan sambal belacan. Untuk set ini, dianggarkan 400 bungkus terjual setiap hari,” katanya.
Terdapat juga menu lain seperti mi sup, ikan dan sayur, tapi kata Rubiah, ia kurang mendapat sambutan berbanding ayam goreng.
Malah disebabkan penangan ayam gorengnya ada pelanggan yang memintanya membuka gerai pada hujung minggu.
"Ramai pelanggan suka ‘stail’ ayam goreng saya. Kadang-kadang ada yang beli nasinya sikit, tapi ayam gorengnya banyak.
"Kalau ayam goreng saja, harganya RM3 seketul. Agaknya orang suka makan ayam goreng panas-panas. Sekejap je angkat dari kuali, dah habis,” katanya.
Setiap hari sebanyak 50 ke 70 ekor ayam digunakan dan ia akan habis dijual.
Bagi pelanggan setia nasi bajet Rubiah, mereka sudah tahu perlu datang awal supaya tidak menunggu lama untuk merasai kelazatan nasi bajetnya.
Malah orang ramai juga boleh membuat tempahan lebih awal jika mahu membeli dalam kuantiti yang banyak.
Di gerai Rubiah juga ada disediakan tempat untuk pelanggan makan, tapi hanya mampu menampung 10 orang pada satu masa.
"Saya bukannya buka kedai makan, sekadar gerai biasa saja sebab itu tak sediakan banyak kerusi dan meja.
"Saya dah berniaga sejak 1998 lagi, tapi tak sangka penangan nasi bajet ini menjadi sehingga pernah tular di Facebook. Terima kasih atas sokongan semua,” katanya.