SHAH ALAM - Isu harga ayam di negara ini sering dibincangkan dan mencetus kebimbangan orang ramai susulan kenaikan kos harga barangan yang berlaku baru-baru ini.
Namun, pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bahawa harga siling ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 per kilogram (kg) bermula 1 Julai di Semenanjung Malaysia, melegakan rakyat.
Menurut beliau, mesyuarat jemaah menteri pada Rabu itu turut bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 45 sen sebiji bagi gred A, gred B (43 sen) dan gred C (41 sen).
Katanya, keputusan penetapan harga siling yang baharu itu telah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat menyambut baik tindakan kerajaan malah ia dianggap wajar bagi memastikan kenaikan harga di peringkat pembekal atau pemborong tidak berlaku sewenang-wenangnya.
Berita baik
Pembaca Jangka Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ahmad Faqif Fahmi Maula Mohd Hasni, 28, menyifatkan keputusan itu merupakan satu berita baik buat rakyat sepertinya iaitu golongan berpendapatan rendah, B40.
"Penetapan yang dibuat oleh kerajaan ini sememangnya satu langkah yang wajar dilakukan. Apatah lagi sekarang ini pelbagai harga barang naik harga termasuk dedak ayam.
"Masalah kenaikan harga ini bukan sahaja membimbangkan golongan B40, tetapi turut memberi kesan kepada golongan M40 dan T20.
"Dengan adanya penetapan harga baharu ini, sekurang-kurangnya kita tahu harga akan terkawal,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nada sama disuarakan wartawan, Diyana Ridzyianty Rahip, 26, yang melihat keputusan kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada kadar RM9.40 per kg sebagai munasabah bagi mengawal kenaikan harga di peringkat pemborong.
"Tidak dapat dinafikan punca utama kenaikan harga ayam terletak pada kenaikan harga makanannya. Apabila berlaku ketidakstabilan dalam harga makanan ayam, sudah tentu kos pengeluarannya turut meningkat dengan mendadak.
"Seluruh rakyat berharap sangat kerajaan terus peka dalam mencari solusi bagi mengimbangi beban yang dialami,” ujarnya.
Sementara itu, pegawai kerajaan, Muzamil Mat Husin, 34, berkata kerajaan telah memainkan peranan penting dalam membantu rakyat saat berhadapan dengan situasi kenaikan harga ayam di negara ini.
"Umum sedia maklum bahawa ayam merupakan salah satu asas makanan ruji dalam masyarakat di negara ini. Peranan kerajaan sentiasa diharapkan dalam menyelami keperitan rakyat.
"Sebelum ini, apabila harga dinaikkan tanpa alternatif penyelesaian, ia menjadi penyebab kepada kenaikan harga ayam dalam pasaran,” jelasnya.
Jurugambar, Muhammad Azam Abdullah, 28, mencadangkan satu perubahan lebih besar perlu dilaksanakan oleh kerajaan jika berhasrat negara keluar daripada masalah kenaikan harga semasa.
"Pelarasan harga syiling ayam pada RM9.40 adalah satu langkah yang baik berbanding dengan harga apungan yang jelas memberikan kesan kepada rakyat.
"Namun, pada masa sama rakyat sebenarnya memerlukan solusi kepada isu yang lebih besar iaitu kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Bagi pekerja swasta, Nurfaranisya Nasir, 26, langkah alternatif membantu rakyat bagi mendepani isu kenaikan harga untuk barangan lain juga perlu dipertimbangkan oleh kerajaan.
Menurutnya, masyarakat masih lagi terkesan dan terbeban dengan kos sara hidup selain daripada makanan.
"Oleh itu, diharapkan kerajaan dapat terus melaksanakan pemberian subsidi dan bantuan tunai bagi melindungi rakyat daripada beban kenaikan kos sara hidup.
"Kerajaan perlu merangka strategi dan memikirkan cara yang lebih efektif supaya dapat meringankan beban rakyat yang terkesan dengan situasi ekonomi masa kini,” katanya.
Langkah berterusan
Usaha kerajaan membuat penetapan kadar harga siling ayam standard dan telur ayam bermula Jumaat, dilihat sebagai tindakan jangka pendek dan perlu disusuli dengan tindakan jangka panjang.
Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berpandangan
selain penyelesaian jangka pendek, kerajaan juga perlu membuat perancangan untuk mengawal situasi bagi jangka pertengahan dan jangka panjang.
"Untuk jangka pendek, langkah yang diambil ini boleh digunapakai tetapi ia mesti diikuti dengan langkah-langkah lain.
"Saya melihat bahawa ada satu rantaian kaedah yang perlu dilonggarkan atau dipenuhi untuk membolehkan import ayam berlaku secara lebih baik bagi mengelak kawalan pengeluaran ayam di Malaysia.
"Itu yang perlu dilakukan supaya dalam jangka pertengahan kita dapat lihat lebih banyak ayam dapat masuk pasaran. Untuk jangka panjang, kita perlu menggalakkan penternak ayam kampung mengeluarkan hasil bagi mewujudkan lebihan bekalan ayam di pasaran,” ujarnya.