KUANTAN - Peniaga ayam di Pahang yang mengenakan caj perkhidmatan 'memotong' diwajibkan mempamerkan tanda harga yang jelas di premis jualan mereka.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Muhamad Radzi Johari berkata, tindakan mengambil upah memotong tidak menyalahi peraturan ditetapkan, tetapi pengguna berhak membuat pilihan.
"Kalau mereka (peniaga) mengenakan caj memotong (ayam), mereka perlu mempamerkan tanda harga jelas. Jika tidak pamer (harga) mereka tetap boleh dikenakan tindakan.
"Bila ada penetapan harga pengguna boleh memilih sama ada untuk membayar caj lebih bagi tujuan pemotongan ayam atau membeli pada kadar harga ditetapkan sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab tindakan segelintir peniaga ayam yang mengenakan kadar caj RM1 bagi tujuan pemotongan bahan mentah yang diproses dan dijual tanpa kepala serta kaki.
Sebelum itu, Muhamad Radzi mengadakan pemeriksaan dan pemantauan sempena pelaksanaan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam (PHMata) di sebuah pasaraya di Indera Mahkota 16 di sini pada Jumaat.
Muhamad Radzi memaklumkan KPDNHEP Pahang telah membuat pemeriksaan ke atas 26,460 premis perniagaan di seluruh negeri ini.
Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 90 kes melibatkan nilai rampasan berjumlah RM6,975.98 dan kompaun pula RM11,700.
"Antara kesalahan yang kita ambil tindakan seperti menjual barangan melebihi harga maksimum yang ditetapkan, tidak mempamerkan tanda harga khas merah jambu dan tiada tanda harga," katanya.
Mengulas mengenai usaha KPDNHEP Pahang bagi memastikan bekalan ayam dan minyak masak mencukupi, Muhamad Radzi berkata, seramai 127 pegawai dan anggota penguatkuasa dibantu 97 pegawai pemantau harga sentiasa melakukan pemeriksaan di seluruh Pahang setiap hari.
Katanya, Ops Anti Sorok dilancarkan bagi memberi tumpuan khusus kepada peniaga atau pembekal yang tidak amanah.
"Tujuan operasi ini adalah bagi memastikan bekalan semua bahan keperluan seperti ayam, telur ayam dan minyak masak sentiasa mencukupi dan tidak berlaku penyelewengan.
"Setakat ini tiada notis bertulis dikeluarkan kepada mana-mana peniaga minyak masak sawit tulen botol kerana masih menjual dengan harga lama.
"Berdasarkan pemeriksaan kita dapati keberadaan stok minyak masak di pasaran sebanyak 278,616 kilogram (kg) bagi minyak masak botol dan minyak masak peket satu kilogram (123,754 kg).
"Jumlah ini mencukupi untuk menampung keperluang penggunaan isi rumah di Pahang," ujarnya.
Sehubungan itu, Muhamad Radzi mengingatkan peniaga bahawa tindakan boleh dikenakan melanggar peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.