SIK - Mangsa lemas ketika keluar memancing di Tasik Gubir dijumpai pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 3 petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa dikenali Othman Abdul Ghani, 49, ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi terakhir bot dikesan terbalik.
Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap berbaju serta beg pinggang masih di badan.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Abd Kadir berkata, anggota bomba menemui mangsa dalam jarak kira-kira 500 meter dari lokasi bot terbalik.
Menurutnya, anggota mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk proses membawa balik mangsa ke Jeti Pendaratan Ikan Gubir sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Bot mangsa tidak karam di mana telah ditemui dan ditambat oleh nelayan yang melakukan operasi pencarian sejak pagi Khamis.
"Pada hari ini, kita turut membawa balik bot yang dinaiki mangsa yang ditambat di lokasi kejadian naik ke darat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mangsa terjatuh dari bot ketika keluar menangkap ikan bersama anak saudara, Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28, pada petang Rabu.
Dalam kejadian itu, bot yang dinaiki mereka berlanggar bongkah kayu menyebabkan mangsa terjatuh dan hilang.
Muhammad Khairul dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing tasik manakala Othman yang dikatakan tidak pandai berenang, gagal ditemui.
Muhammad Khairul bagaimanapun diselamatkan nelayan yang melalui kawasan itu pada jam kira-kira 7.30 pagi Khamis sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.
SAR dimulakan pada Khamis dan bersambung pada hari kedua, Jumaat sebelum mayat mangsa ditemukan.
Mayat dihantar ke Hospital Sik untuk proses bedah siasat.