Suruhanjaya Sekuriti umum pelantikan pimpinan baharu

Iklan
Awang Adek Hussin

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan empat pelantikan kanan baharu bagi membantu membina pasaran modal yang lebih relevan, cekap dan pelbagai.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, gabungan pengetahuan dan pengalaman luas mereka daripada sektor awam serta swasta akan mengukuhkan lagi keupayaan dan keberkesanan SC untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran dan integriti dalam persekitaran yang berkembang pesat.

Iklan
Iklan

"Saya berbesar hati mengumumkan pelantikan baharu dalam pasukan eksekutif. Gabungan pengetahuan dan pengalaman luas mereka daripada sektor awam dan swasta akan mengukuhkan lagi keupayaan dan keberkesanan SC untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran dan integriti dalam persekitaran yang berkembang pesat yang merangkumi kemampanan, persaingan dan inovasi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan, SC melantik Datin Azalina Adham sebagai Pengarah Eksekutif, Strategi dan Dasar iaitu kumpulan perniagaan yang baru ditubuhkan.

Iklan

Menurutnya, dengan pengalaman luas beliau dalam kewangan dan pasaran modal, Azalina akan membantu memacu hala tuju strategik SC dalam beberapa bidang kritikal termasuk perancangan korporat, pengurusan risiko dan hubungan antarabangsa untuk membangunkan lagi pasaran modal.

Selain itu, SC juga melantik pakar media dan komunikasi, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid sebagai Pengarah Eksekutif, Komunikasi Strategik dan Pejabat Pengerusi dengan peranan utama untuk meningkatkan libat urus dan strategi komunikasi SC dengan pemegang kepentingan utama.

Iklan

Tambahnya, SC turut menaikkan pangkat Dr Wong Huei Ching kepada Pengarah Eksekutif, Strategi Digital dan Inovasi bertujuan memajukan lagi potensi digital dan inovasi ke arah membentuk pasaran modal yang lebih inklusif serta mampan untuk perniagaan dan pelabur.

"Dr Wong menyertai SC pada tahun 2017 dan telah mengetuai beberapa fungsi utama SC seperti perancangan dan strategi korporat. Beliau telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Pelan Induk Pasaran Modal 3,” jelasnya.

Menurut kenyataan, Budiman Lutfi Mohamed pula dilantik sebagai Pengarah Penguatkuasaan baharu dan ia selaras dengan sejarah pelantikan pegawai SC dari Jabatan Peguam Negara.

"Budiman akan mengetuai kerja penyiasatan, pendakwaan dan penguatkuasaan sivil SC,” ujarnya.

Tambah kenyataan, seperti yang diumumkan sebelum ini pada 29 April 2022, Yew Yee Tee dan Shamsul Bahriah Shamsudin akan memegang jawatan baharu masing-masing sebagai Ketua Kaunsel dan Pengarah, Pengawasan Pengantara dan Dana.

"Yew akan memimpin bahagian dasar, perundangan dan menyediakan sokongan khidmat nasihat strategik bagi perkara berkaitan undang-undang dalaman dan luaran yang melibatkan SC.

"Sementara itu, Shamsul Bahriah akan bertanggungjawab ke atas pemberian kebenaran dan pelesenan, dan penyeliaan pengantara pasaran. Semua pelantikan akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2022,” jelasnya.