Kerajaan teruskan subsidi jangka pendek

Iklan
Mustapa (kiri) pada sesi dialog bersama pihak industri dan NGO di Kelantan mengenai isu ekonomi di Hotel Grand Renai, Kota Bharu pada Jumaat.

KOTA BHARU - Kerajaan akan terus mengekalkan pemberian subsidi jangka pendek bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun kerajaan akan membuat pertimbangan sama ada mahu meneruskan pemberian subsidi jangka sederhana dan panjang.

Iklan
Iklan

"Subsidi jangka sederhana dan panjang itu akan mengambil kira kemampuan kewangan negara," katanya pada sesi dialog bersama pihak industri dan NGO di Kelantan mengenai isu ekonomi di Hotel Grand Renai, di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nor Azmie Diron dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Kelantan, Mohamad Nazwan Ismail.

Iklan

Menurutnya, kerajaan tidak mahu proses subsidi jangka sederhana dan panjang itu menjejaskan kedudukan kewangan negara pada masa depan.

Beliau berkata, pada tahun ini sebanyak RM77.8 bilion telah diperuntukan oleh kerajaan untuk dinikmati oleh seluruh rakyat negara ini.

Iklan

Mustapa berkata, jumlah tersebut merupakan peruntukan tertinggi yang pernah dibelanjakan oleh kerajaan.

"Jumlah ini meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Bagaimanapun, kita perlu melihat kosnya kepada kerajaan. Hal ini kerana ada sesetengah pihak yang mengatakan ini tidak lestari.

"Jumlah tersebut terlalu besar untuk kita pertahan dalam tempoh jangka panjang," katanya.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan akan memperkasakan persatuan pengguna di seluruh negara dalam usaha menangani masalah kenaikan harga.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan persatuan pengguna mempunyai 'kuasa' dalam mempengaruhi harga.

"Jadi kita tidak mahu peniaga-peniaga ambil tindakan untuk naikkan harga keterlaluan.

"Ini memerlukan persatuan pengguna memainkan peranan yang cukup besar. Susulan itu satu seminar di peringkat kebangsaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan dilangsungkan dalam masa terdekat," katanya.