IPOH - Jabatan Imigresen Perak berjaya menahan 101 warga asing menerusi Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan di beberapa lokasi di Simpang Pulai dan sekitar Ipoh pada awal pagi Jumaat.
Pengarah Imigresen Negeri Perak, Hapdzan Husaini berkata, serbuan yang dilakukan sekitar jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu membabitkan tiga lokasi di sebuah kawasan kilang barangan lusuh, rumah kedai dan rumah kongsi.
Menurutnya, ketika operasi berkenaan, seramai 162 warga asing pelbagai warganegara diperiksa terdiri daripada lelaki dan wanita, namun hanya 101 orang sahaja yang ditahan.
"Setelah menyedari kehadiran pegawai operasi, mereka berlari bertempiaran sehingga ada yang sanggup menggadai nyawa dengan memanjat tembok tinggi untuk melarikan diri ke arah hutan di belakang premis tersebut.
"Pegawai operasi yang terlibat juga berdepan dengan detik cemas mengejar warga asing kerana kawasan kilang tersebut dipenuhi dengan barangan tajam dan logam besi. Namun kecekapan pegawai operasi yang telah mengepung kawasan premis dan berjaya menahan warga asing berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, daripada 101 orang yang ditahan, seramai 11 warganegara China, 60 warganegara Myanmar, Indonesia (10), Vietnam (4), Bangladesh (15) serta seorang wanita warganegara India.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 15 hingga 62 tahun dan dibawa ke Pejabat Imigresen Perak untuk siasatan lanjut.
"Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.
"Imigresen Perak akan sentiasa meningkatkan pemantauan dan operasi secara berterusan dengan mematuhi prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Sehubungan itu, Hapdzan menggesa orang ramai supaya menyalur maklumat dan aduan agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut saluran yang betul.