MAKKAH - Berbaki tujuh hari lagi sebelum hari wukuf dan bergerak ke Arafah pada Khamis, jemaah haji Malaysia mula melakukan pelbagai persediaan kerohanian.
Sesetengah jemaah melakukan ulang kaji tentang rukun dan wajib haji bersama rakan sebilik, menghadiri ceramah agama di maktab (penginapan) masing-masing dan ada yang berjumpa sendiri dengan petugas Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarah Operasi Bimbingan TH Ustaz Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, beliau sentiasa menasihatkan jemaah Malaysia agar menjaga kesihatan dan memperbanyakkan aktiviti ibadah ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
"Beberapa hari lagi, jemaah akan berangkat ke Arafah untuk laksana rukun haji iaitu wukuf...kemudian melaksanakan wajib haji dengan bermalam di Muzdalifah, seterusnya bergerak ke Mina untuk melakukan lontaran Jamrah Kubra serta bermalam di Mina.
"Untuk persiapan berangkat ke Arafah dari segi kerohanian saya tekankan supaya jemaah haji perbanyakkan doa kepada Allah, mengharapkan supaya Allah ampunkan dosa dan mempermudahkan perjalanan ibadah mereka,” katanya selepas mengadakan ceramah agama di bangunan penginapan dan ibu pejabat TH di Abraj Al Janadriah, di sini.
Selain itu beliau turut menyarankan jemaah haji agar melaksanakan ibadah di surau yang disediakan TH atau di bilik penginapan masing-masing ekoran keadaan cuaca panas bagi merehatkan diri sebelum tiba hari kemuncak.
Sementara itu, rata-rata jemaah yang ditemui pemberita melahirkan keterujaan untuk melaksanakan ibadah rukun Islam kelima itu dan berharap pergerakan mereka dipermudahkan.
Noorhisyam Yaakob, 43 berkata sejak tiba di Tanah Suci bersama isteri pada 18 Jun lepas, perasaannya sentiasa bercampur baur apatah lagi setelah dimaklum haji tahun ini adalah Haji Akbar, yang mempunyai kelebihan tersendiri.
"Perasaan ini sangat luluh...sejak dapat panggilan haji, hati ini sebak berbaur gembira. Jejak sahaja Madinah berasa syukur tak terhingga apatah lagi kami ini panggilan saat akhir.
"Tak tergambar perasaan ini. Pada hari wukuf kelak, saya hanya mengharapkan reda Allah...diberi pengampunan,” katanya yang turut mengikuti program ceramah anjuran TH dari semasa ke semasa.
Selain itu, Mohd Khairul Hisham Mohd Daud, 42, berkata sebelum tiba hari wukuf, masih banyak yang beliau perlu tambah baik, apatah lagi baharu pertama kali melakukan ibadah itu.
"Ibu saya meninggal dunia ketika usianya 37 tahun dan masih muda...saya masih dibangku sekolah ketika itu. Tidak sampai hajat ibu nak ke Tanah Suci. Saya datang ke sini memang nak berdoa apa yang terbaik untuk ibu saya,” katanya yang kerap mengadakan perbincangan tentang hal ehwal agama dengan jemaah lain.
Seorang lagi jemaah Malaysia, Ahmad Safwan, 30, berkata beliau sentiasa menjaga kesihatan fizikal dan mental serta menghadiri banyak majlis ilmu berkaitan rukun dan wajib haji agar dapat melaksanakannya dengan baik.
Hasratnya, apabila tiba hari wukuf kelak, ia akan dimanfaatkan dengan berdoa untuk mendapatkan pengampunan dan keredaan, bukan sahaja untuk dirinya dan keluarga tetapi juga kepada rakan serta umat Islam yang lain. - Bernama