KUALA LUMPUR - Program Food Bank Malaysia yang merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat telah memanfaatkan seramai 45,850 anggota isi rumah sehingga Februari lepas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program itu yang juga bertujuan mengurangkan pembaziran, turut berjaya menyelamatkan 1,055 tan metrik lebihan makanan.
"Dalam melaksanakan inisiatif ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menghubungkan pihak industri yang mana merangkumi bukan sahaja pasaraya malah pengeluar produk makanan, restoran dan hotel dengan rakan strategik kementerian iaitu Mutiara Food Bank, Food Aid Foundation dan KECHARA Soup Kitchen bagi membantu menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran.
"Dengan adanya program Food Bank Malaysia ini, kita ingin memastikan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang kelaparan”, katanya pada majlis pelancaran program Food Bank Malaysia bagi Parlimen Pandan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata program Food Bank di Parlimen Pandan akan digerakkan oleh Rakan Strategik Utama iaitu KECHARA Soup Kitchen dan mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Suara Anak Pandan (Voice of Pandan).
Menurutnya, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengumpul bahan makanan dari hypermarket dan supermarket yang terlibat dan mengagihkannya seminggu sekali kepada kumpulan sasar kawasan Parlimen Pandan, dengan jumlah penerima yang didaftar pada masa ini melebihi 200 orang.
Antara pasaraya yang terlibat adalah Tesco, Econsave, The Store, NSK dan SEGI, katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata KPDNHEP telah melaksanakan projek perintis pertama bagi program itu di Pulau Pinang pada Ogos 2018.
Beliau berkata hasil kejayaan program perintis itu dijadikan penanda aras untuk dilaksanakan di beberapa negeri lain seperti Kelantan, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Susulan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 15 Feb 2019, Dr Wan Azizah berkata kerajaan memutuskan untuk meluaskan Program Food Bank Malaysia ke semua institusi pengajian tinggi yang bertujuan menangani kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa yang kian meningkat.
Food Bank Malaysia yang diterajui KPDNHEP dilancarkan di Pulau Pinang pada 22 Dis lepas menyasarkan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) termasuk pelajar universiti awam. Menerusi program itu, lebihan makanan diperoleh terutama daripada pasar raya besar seperti roti, sayur dan buah-buahan diagih kepada mereka yang memerlukan. - Bernama