KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti individu terlibat dalam penganjuran Himpunan Barang Naik oleh Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna di luar pintu Masjid Jamek Kampung Baru di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam masa terdekat.
"Perhimpunan bantah kenaikan harga barang yang diadakan penganjur tidak mendapat kebenaran atau permit daripada polis untuk berkumpul.
"Maka kami sudah mengenal pasti penganjur bantahan itu, dan mereka akan dipanggil dalam masa terdekat ke IPD untuk mengambil keterangan membantu siasatan polis,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Noor Dellhan berkata, beberapa tokoh politik yang hadir pada perhimpunan tersebut juga akan dipanggil untuk dirakam keterangan.
"Mereka (pemimpin politik) juga akan disiasat dan dipanggil hadir ke balai untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.
"Anggaran individu yang menyertai himpunan itu adalah antara 50 hingga 60 orang dan beberapa wakil ada memberikan ucapan, namun keadaan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan hampir 100 orang menghadiri himpunan aman yang bermula jam 2 petang sebelum disuraikan oleh anggota polis kira-kira 30 minit kemudian.
Antara yang dilihat hadir pada perhimpunan tersebut termasuk Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Faiz Fadzil.
Pada himpunan itu, Amanah memberikan tempoh 11 hari kepada kerajaan untuk menunaikan tiga tuntutan bagi mengatasi isu kenaikan harga.
Pengarah Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, tiga tuntutan itu adalah mengembalikan subsidi makanan yang dipotong oleh kerajaan, menghapuskan sistem permit import (AP) makanan dan menuntut kerajaan mengadakan satu sidang khas Parlimen.