Runsing bekalan minyak peket sukar diperoleh

Iklan
Mohamad Saleh menunjukkan minyak masak botol yang dijual di kedai runcitnya.

SABAK BERNAM - Rata-rata peniaga kedai runcit runsing dan meluahkan kekecewaan berikutan sukar mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg).

Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Sungai Nibong, Mohamad Azywan Sapingai, 29, berkata, kedainya berdepan masalah bekalan minyak masak peket sejak tiga bulan lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rata-rata penduduk di kampung itu memerlukan minyak masak peket berikutan harganya jauh lebih murah berbanding minyak masak botol.

"Ramai pelanggan datang ke kedai untuk membeli minyak masak, tapi malangnya kami sukar mendapatkan bekalan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Mohamad Azywan berkata, penduduk di kampung itu terpaksa mencari minyak masak peket di pasar raya atau pasar mini yang terletak jauh daripada penempatan.

"Penduduk kampung tidak mempunyai pendapatan tetap, malah sebahagian besar berpendapatan rendah dan sememangnya memerlukan minyak masak peket," ujarnya.

Iklan

Seorang lagi peniaga, Masitah Misran, 33, memberitahu, stok minyak masak peket sudah lama tidak dijual di kedai runcitnya.

Jelasnya, minyak masak peket amat diperlukan terutama selepas kerajaan menghapuskan subsidi minyak masak berbotol bermula pada Jumaat.

"Kadang-kadang saya sebagai peniaga runcit juga sukar hendak dapatkan minyak masak peket, selain terpaksa membeli untuk keperluan sendiri semata-mata," jelasnya.

Seorang peniaga kedai runcit di Simpang Lima, Mohd Kamal Abu Bakar, 32, berkata, minyak masak botol kurang menjadi pilihan penduduk berikutan harganya yang mahal.

Jelasnya, keadaan bertambah teruk selepas kerajaan menghapuskan subsidi minyak masak botol yang kini dijual pada harga lebih tinggi.

"Saya difahamkan minyak masak botol mengalami kenaikan mendadak yang membebankan pengguna, dan peniaga," katanya.

Jelasnya, kedai runcitnya itu sudah lama terputus bekalan minyak masak peket dan berharap ia tidak terus berpanjangan.

"Kami belum mengetahui harga minyak masak botol selepas pemansuhan subsidi hari ini (Jumaat) kerana belum sempat membeli tetapi menjangkakan harganya jauh lebih tinggi," jelasnya.

Seorang peniaga kedai runcit, Ahmad Nizam Mahidin, 42, berkata, kali terakhir minyak masak diperoleh pada minggu lalu.

Jelasnya, keperluan minyak masak dibelinya dari kedai pembungkusan sekitar daerah Sabak Bernam.

"Biasanya saya membeli di kedai pembungkusan dan hanya dibenarkan membeli 10 bungkusan sahaja," katanya.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Daerah Sabak Bernam, Mohamad Saleh berkata, kedai runcitnya juga berdepan masalah sama sejak 11 hari lalu.

Mohamad Saleh menunjukkan minyak masak botol yang dijual di kedai runcitnya.

Ujarnya, minyak masak subsidi tidak diperoleh daripada pemborong sama ada sekitar Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar," katanya.

Ujarnya, minyak botol yang dimansuhkan subsidi pula melambung tinggi hingga mengalami kenaikan sehingga RM1 dan bukan menjadi pilihan utama penduduk kampung.

"Kerajaan perlu segera menangani perkara ini agar rakyat tidak terus dihimpit tekanan dengan kenaikan harga barang.

"Misalnya saya sendiri melebihkan penjualan minyak masak botol disebabkan kekurangan minyak masak peket," katanya.

Seorang peniaga keropok lekor, Saodah Mahmud, 36, berkata, minyak subsidi sukar diperoleh selepas kerajaan mengumumkan memansuhkan subsidi minyak botol.

Katanya, terdapat sesetengah peniaga terpaksa membeli minyak botol untuk meneruskan operasi perniagaan.

"Saya sendiri jika stok bekalan minyak masak peket berkurangan akan membeli minyak botol, tetapi sampai bila kami boleh bertahan," katanya

Seorang lagi peniaga pisang goreng, Rashid Hafizi, 26, berkata, peniaga dihimpit kos tinggi sekiranya terpaksa membeli minyak masak botol.

"Keperluan menggoreng misalnya memerlukan sebanyak 4kg sehari dan jika tiada minyak masak peket kita terpaksa membeli minyak masak botol," katanya.