KUANTAN - Jalan Pos Betau-Lembah Bertam menghubungkan Pekan Ringlet dan Sungai Koyan yang ditutup kepada semua kenderaan akan dibuka semula pada Khamis ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands dalam satu kenyataan memaklumkan laluan itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan di bawah lima tan sahaja.
"Laluan itu akan dibuka bermula jam 8 pagi dan ia melibatkan satu laluan sahaja.
"Ini kerana kerja-kerja pembaikan kekal sedang dilaksanakan di sebelah laluan yang ditutup," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JKR Cameron Highlands turut menyenaraikan beberapa laluan alternatif bagi kenderaan ringan di bawah lima tan.
Tambah kenyataan itu, laluan alternatif terbabit bermula dari Simpang Pulai/Pulau Pinang/Alor Setar ke Sungai Koyan/Lipis boleh melalui Jalan Pos Slim-Lojing ke Jalan Tapah-Cameron Highlands ke Jalan Pos Betau-Lembah Bertam.
"Manakala dari Tapah/Kuala Lumpur/ Bentong ke Sungai Koyan/Lipis boleh melalui Jalan Tapah-Cameron Highlands ke Jalan Pos Betau-Lembah Bertam.
"Bagi kenderaan dari Sungai Koyan/Lipis ke Tanah Rata pula telah boleh melalui laluan dari jalan Pos Betau-Lembah Bertam ke jalan ke Tapah-Cameron Highlands," kata kenyataan itu.
Selain itu, bagi kenderaan berat yang melebihi lima tan pula boleh menggunakan laluan dari Simpang Pulai/Alor Setar ke Sungai Koyan/Lipis iaitu dari Jalan Pos Slim-Lojing ke Jalan Bentong-Gua Musang ke Jalan Central Spine ke Jalan Berchang-Sungai Koyan.
Manakala dari Tapah/Kuala Lumpur/Bentong ke Sungai Koyan/Lipis boleh melalui Jalan Tapah-Cameron Highlands ke Jalan Pos Slim-Lojing ke Jalan Bentong-Gua Musang ke Jalan Central Spine ke Jalan Berchang-Sungai Koyan.
Bagi kenderaan berat dari Sungai Koyan/Lipis ke Tanah Rata dari Jalan Berchang-Sungai Koyan ke Jalan Central Spine ke Jalan Bentong-Gua Musang ke Jalan Pos Slim-Lojing ke Jalan Tapah-Cameron Highlands.
Jalan Pos Betau-Lembah Bertam yang menghubungkan Pekan Ringlet dan Sungai Koyan ditutup sepenuhnya sebelum ini berikutan struktur jalan yang mendap di Seksyen 19.150.
Sehubungan itu, JKR turut memohon semua pengguna jalan berkenaan agar berhati-hati ketika menggunakan laluan tersebut.
"Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan papan tanda yang telah disediakan," kata kenyataan itu.