KUALA LUMPUR - [DIKEMASKNI] Dua lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab akan diwujudkan dalam masa terdekat, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata penambahan dua MRSM berkenaan adalah untuk menampung permintaan yang tinggi terhadap sekolah kategori itu.
Iklan
Iklan
Katanya sehingga kini sudah ada lima MRSM kategori itu daripada 47 sedia ada iaitu di Kota Putera, Besut, Terengganu; Gemencheh, Negeri Sembilan; Kepala Batas, Pulau Pinang; Sungai Besar, Selangor dan Semporna, Sabah.
Rina berkata demikian pada sidang media di Program MRSM Kepala Batas Ulul Albab dan ETS: Perjalananku Bersama Al-Quran di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Perkhidmatan KTMB Intercity dan ETS Salmi Abdullah dan Yang Dipertua Badan Permuafakatan Pendidikan Mara (Muafakat) cawangan MRSM Kepala Batas Prof Dr Abdul Latif Ahmad.
Program kali kedua diadakan selepas Mac tahun lepas adalah untuk memanfaatkan empat jam masa pelajar yang terluang di dalam ETS dari Kuala Lumpur ke Kepala Batas, Pulau Pinang dengan aktiviti hafazan.
Program yang melibatkan 90 orang pelajar itu menyasarkan peningkatan muka surat hafazan mereka di samping membudayakan amalan membaca al-Quran di mana sahaja. - Bernama