AMPANG - Polis menahan seorang pembantu kedai bagi membantu siasatan kes bunuh warga Indonesia dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Taman Keramat, Hulu Kelang di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki warga Indonesia berusia 22 tahun ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca mangsa ditikam disebabkan berlaku pertengkaran dengan suspek.
"Bagaimanapun, soal siasat akan diteruskan untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohamad Farouk berkata, polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur berukuran 12 inci di rumah suspek dipercayai digunakan ketika kejadian.
"Suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Ampang pada Sabtu," katanya.
Pada Jumaat, seorang lelaki warga asing maut dipercayai ditikam dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Taman Keramat, Hulu Kelang di sini.
Mohamad Farouk berkata, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman.
"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas mangsa mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya.