Isu PRU: Asyraf Wajdi hanya fikir periuk nasi sendiri

Iklan
Fahmi ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seawal Oktober, tidak sensitif terhadap isu semasa negara.

Fahmi berkata, Asyraf seharusnya memikirkan keadaan rakyat yang terjejas dengan harga barangan yang semakin meningkat.

Iklan
Iklan

"Saya rasa Datuk Asyraf seakan-akan tidak sensitif. Rakyat tengah sengsara cari kerja, dengan minyak dan ayam harga tinggi tetapi beliau mahu PRU. Saya rasa ini hanya memikirkan periuk nasi sendiri, dia patut fikirkan periuk nasi rakyat.

"Pada waktu ini, semua pihak sedang berusaha untuk membantu rakyat. Macam saya, tengah bantu rakyat di Lembah Pantai, tetapi beliau hendak PRU, saya rasa tidak sesuai,” katanya.

Iklan

Fahmi berkata demikian kepada pemberita pada Program Jualan Amal Prihatin Rakyat yang diadakan di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa pada Sabtu.

Pada Jumaat, Asyraf memaklumkan bahawa PRU15 mungkin diadakan seawal-awalnya dalam tempoh dua bulan dari sekarang dengan jangkaan sama ada September atau Oktober.

Iklan

Perkara tersebut disuarakan berdasarkan keperluan segera untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dalam usaha menstabilkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Asyraf seharusnya mengikuti prosedur yang ada tanpa melangkaui proses yang ditetapkan.

"Beliau kena ingat, yang buat keputusan adalah jemaah menteri dan Perdana Menteri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong. Jadi, jangan melangkaui proses, jangan lebih sudu dari kuah,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya PRU diadakan dalam tempoh terdekat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) telah bersiap sedia untuk menghadapinya.

"Tahap kesediaan adalah lebih baik kalau dibandingkan. PKR telah tamat proses pemilihan, DAP juga selesai dan Parti Amanah Negara tidak ada pemilihan.

"Saya tidak pasti bagi UMNO, macam mana keputusan untuk mendaftar pertubuhan. Jadi, saya rasa Datuk Asyraf boleh fikirkan perkara ini daripada mahukan PRU, mungkin kena hadap pemilihan parti dahulu,” katanya.

Menjawab mengenai waktu sesuai PRU diadakan, beliau berkata, ia boleh dilaksanakan pada awal atau pertengahan 2023.

"Mungkin kena tunggu dahulu kerana keadaan ekonomi rakyat dan pandemik Covid-19.

"Sekarang kita tidak tahu kesan pengurangan subsidi kepada rakyat. Mungkin awal tahun depan atau pertengahan sesuai,” katanya.