'Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi perlu segera bertindak'

Iklan
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi perlu segera mengumumkan tindakan yang perlu dilakukan untuk menangani inflasi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut perlu diumumkan bagi memastikan rakyat tidak terkesan dan terjejas dengan kenaikan harga barang dalam tempoh yang lama.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini baru dengar pengumuman tentang penubuhan, tetapi saya rasa sepatutnya bila diumum penubuhan, sudah ada langkah-langkah.

"Sepatutnya, task force ini mengumumkan apakah saranan, syor, tindakan yang dicadangkan. Itu yang perlu dilakukan sekarang,” katanya pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Jualan Amal Prihatin Rakyat yang diadakan di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Iklan

Menurut Ismail Sabri, pasukan khas yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.

Dalam masa sama, Fahmi turut menggesa agar kerajaan memberi penjelasan dengan lebih lanjut berkenaan isu subsidi dan bantuan.

"Apakah pancangan jangka masa sederhana untuk program subsidi walaupun telah disebut akan kekal sampai hujung tahun. Tetapi adakah akan ada kesan yang lain?

"Selain itu, jelaskan juga berkenaan mekanisme pemberian subsidi. Sekarang ini, kita dengar bagaimana bantuan diberikan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) tetapi, adakah akan ada bantuan lain? Ini perlu diteliti,” katanya.