Maritim tahan tekong, kru bantu siasatan

Iklan
Muhammad Suffi

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan tiga individu terdiri daripada tekong dan dua kru bot nelayan yang membawa 10 pemancing bagi membantu siasatan.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mereka disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen yang dikeluarkan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, bot nelayan kelas A itu hanya boleh menangkap ikan dalam kawasan dibenarkan bersama tiga kru namun melanggar syarat apabila membawa 10 pemancing memancing di lokasi lebih jauh tanpa sebarang alatan komunikasi.

"Mengikut rekod, bot ini dikesan melakukan kesalahan sama pada tahun 2020 namun ketika itu kita hanya memberi amaran.

Iklan

"Bila kejadian sama jadi lagi, kita perlu ambil tindakan tegas untuk beri pengajaran kepada pengusaha bot lain supaya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya kepada pemberita di pejabat Maritim Terengganu di sini, pada Sabtu.

Muhamamd Suffi berkata, 10 pemancing bersama tekong dan kru yang terlibat dalam kejadian tersebut berjaya dibawa pulang oleh KM Redang dan tiba di jeti Maritim Terengganu pada jam 9 pagi Sabtu.

Iklan

Jelas beliau, sejak 24 Jun lalu pihaknya sudah mengadakan empat operasi mencari dan menyelamat kes kecemasan di laut membabitkan nelayan.

Sehubungan itu, Muhammad Suffi meminta nelayan dan pengusaha bot memasang peralatan komunikasi bagi membolehkan bantuan segera dihantar sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di laut.

"Bagi pemancing pula, mereka perlu memastikan bot dinaiki dilengkapi sistem komunikasi dan kecemasan. Bantuan boleh tiba dalam tempoh dua jam sekiranya butang kecemasan ditekan dan ini memudahkan pasukan penyelamat,” katanya.