CHANGLUN - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad senada dengan pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung gesaan untuk membubarkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang disifatkan gagal berfungsi.
Dr Mahathir berkata, MPN hanya ibarat sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan semata-mata untuk menyedapkan hati rakyat dalam usaha memulihkan ekonomi negara yang tenat.
"Yang itu saya bersetuju, MPN tak boleh buat apa pun. Buat label saja, bagi orang tengok kononnya untuk pulihkan negara. Mahu bersirat sebenarnya, nak berjihad tidak ada,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada program Kenduri Rakyat bersama Tun Mahathir dan kepimpinan Pejuang Kedah di Serambi Chalet di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.
Pada Khamis, Ahmad Zahid menggesa MPN dibubarkan selepas kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.
Menurut Ahmad Zahid, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi berkesan dan gagal berfungsi selain dijadikan platform untuk memberikan Muhyiddin peluang menaikkan imej sendiri serta parti beliau, bukannya bersuara bagi pihak rakyat dan kepentingan negara.
Mengulas mengenai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diwujudkan, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan niat kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi menangani kenaikan harga barang dan inflasi adalah baik, namun ia hanyalah sekadar ‘cadangan’.
"Niat itu bagus. Kerajaan sendiri memang ada banyak cadangan yang baik tetapi mereka tidak tahu macam mana nak buat (laksana), cuma niat sajalah,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sekiranya kerajaan mahu membantu rakyat, kerajaan boleh memperkenalkan pelbagai subsidi bagi meringankan beban ditanggung rakyat khususnya golongan miskin supaya mereka dapat meneruskan kehidupan.
"Kita tahu inflasi ini disebabkan pelbagai faktor, situasi ini semua dunia sedang hadapi. Antara sebab adalah peperangan dan pandemik Covid-19, ramai orang tak boleh bekerja, duit tiada, lepas itu pula harga barang naik dan ada pula barang tidak cukup menyebabkan harga barang terus meningkat,” katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Menurut Ismail Sabri, pasukan khas yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.
Namun sehingga kini, pasukan khas terbabit belum mengumumkan perancangan yang akan dilakukan mahupun tindakan yang perlu dilakukan untuk menangani inflasi.