Warga emas dilanggar ketika melintas

Iklan
Mayat mangsa yang terbaring di jalan raya selepas terbabit dalam kemalangan itu.

KOTA BHARU - Seorang warga emas lelaki maut akibat serangan jantung selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Jalan Post Office Lama, di sini, semalam.

Chua Hok Chuan, 68, ketika itu berjalan pulang ke rumahnya selepas membeli minuman teh Cina di kedai berhampiran sebelum kejadian berlaku pada jam 11 malam.

Iklan
Iklan

Hasil bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini bagaimanapun mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat degupan jantung yang tidak sekata.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian itu, mangsa berjalan kaki dari arah Jalan Che Su ke Pelangi Mall dan apabila sampai di tempat kejadian, dia melintas dari kiri ke kanan jalan.

Iklan

Katanya, bagaimanapun secara tiba-tiba, mangsa dilanggar sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Mayatnya dibawa ke Unit Forensik HRPZ II Kota Bharu untuk bedah siasat pada jam 2 pagi dan disahkan mati akibat masalah jantung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sehubungan itu pihak polis sedang mengesan kereta yang terbabit dalam kejadian itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian itu juga diminta supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.