PERLAWANAN akhir perseorangan lelaki Badminton Terbuka Malaysia 2022 akan memperlihatkan pertembungan dua pemain terbaik dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dan Kento Momota (Jepun) di Arena Axiata, pada Ahad.
Axelsen selaku pemain nombor satu dunia dan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 mahu menamatkan penguasaan pemain Asia selama 15 tahun dalam kejohanan itu, dan memenangi gelaran ketiga Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas memenangi Terbuka Indonesia dan Masters baru-baru ini.
Momota pula yang masih mendapatkan semula prestasi terbaiknya selepas terlibat kemalangan di Maju Expressway yang menyebabkan pemandu van dinaiki terbunuh, hanya beberapa jam selepas memenangi gelaran Master Malaysia 2020 dengan mengalahkan Axelsen 24-22, 21-11 di venue yang sama.
Sejak kemalangan itu, Momota hanya memenangi gelaran Masters Indonesia 2021 pada November, dan prestasi paling buruk apabila terkeluar pada peringkat kumpulan di Olimpik di negaranya sendiri, pada Julai.
Pada perlawanan separuh akhir malam ini, Momota mengambil masa 42 minit untuk mengalahkan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 21-11, 21-12 untuk layak ke pusingan akhir keduanya selepas tewas kepada Datuk Lee Chong Wei 2018.
Momota berkata, selepas mengalami banyak kesukaran, beliau gembira untuk layak ke akhir pada kejohanan Jelajah Dunia Super 750 BWF.
"Secara jujurnya, saya tidak mempunyai keyakinan dalam perlawanan malam ini, saya cuma cuba untuk elakkan daripada melakukan kesilapan dan bergerak sebanyak mungkin, dan letakkan semula bola tangkis ke gelanggang lawan. Saya akan berikan yang terbaik untuk peminat terutamanya kepada peminat tempatan, yang memberikan sorakan sokongan kepada saya sepanjang minggu ini,” katanya menerusi penterjemah.
Axelsen melangkah ke Terbuka Malaysia buat kali pertama, mengalahkan pemain nombor lapan dunia Jonatan Christie dari Indonesia 21-15, 20-22, 21-11 dalam pertembungan 1 jam dan 11 minit.
"Saya benar-benar mahu menang, ia akan menjadi terbaik, tetapi buat masa ini fokus pada pemulihan dan gembira atas kemenangan hari ini. Kami mahu berlawan dengan pemain terbaik di dunia, Momota bakat yang terbaik...saya gembira melihat beliau kembali bermain dengan baik dan harap kami dapat berikan yang terbaik esok,” katanya.
Rekod pertembungan dua pemain itu memihak kepada Momota dengan 14 kemenangan dalam 15 pertemuan, manakala Axelsen mengalahkan bekas pemain nombor satu dunia itu pada pertemuan terakhir di Terbuka Denmark pada Oktober.
Pemain bukan Asia terakhir memenangi gelaran perseorangan lelaki merupakan seorang lagi pemain Denmark Peter Gade pada 2007, sebelum bekas pemain utama negara Datuk Lee Chong Wei memenanginya sembilan kali, termasuk tujuh kali berturut-turut dari 2008 hingga 2014, manakala Cheng Long dari China (2015) dan Lin Dan (2017, 2019).
Sementara itu dalam perseorangan wanita, juara Olimpik Tokyo 2020 chen Yu Fei dari China mengalahkan juara bertahan, Tai Tzu Ying dari Taiwan 19-21, 21-13, 21-15.
Tzu Ying telah memenangi gelaran itu empat kali, termasuk tiga kali berturut-turut (2013, 2017, 2018, 2019) sebelum ia batalkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19.
Yu Fei akan bertemu juara edisi 2016 Ratchanok Intanon dari Thailand, yang mengalahkan Wan Zhi Yi dari China 21-8, 21-18 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Perlawanan beregu campuran pula memperlihatkan pertembungan antara juara bertahan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China dan pemain nombor dua dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.
Pada perlawanan peringkat empat terakhir pada Sabtu, juara 2018 dan 2019, Si Wei-Ya Qiong melangkah ke akhir selepas mengalahkan Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-18, 21-8, manakala pasangan Thai mengalahkan satu lagi wakil China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 23-21, 19-21, 21-14. - Bernama